Ahad, 7 Februari 2021 | 4:51pm
Kit ujian RTK-Antigen bagi tujuan saringan COVID-19. - Foto NSTP / Ihsan FB
Kit ujian RTK-Antigen bagi tujuan saringan COVID-19. - Foto NSTP / Ihsan FB

CAP gesa pantau harga ujian saringan COVID-19 di klinik swasta

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengawal harga ujian saringan COVID-19 di klinik swasta supaya ia berpatutan.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata harga ujian RT-PCR dan RTK-Antigen di klinik swasta ketika ini antara RM220 hingga RM388 (RT-PCR) dan RM90 hingga RM170 (RTK-Antigen).

"CAP bimbang jika ia tidak dikawal, caj yang dikenakan oleh klinik swasta untuk ujian saringan COVID-19 dikenakan lebih tinggi daripada sepatutnya.

"Kami (CAP) mengalu-alukan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai kawalan harga untuk ujian saringan COVID-19 di klinik swasta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta KKM dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap klinik swasta yang mengenakan caj tinggi bagi ujian saringan itu.

Ini kerana, katanya, jika harga ujian saringan terbabit tidak dikawal pengguna akan dibebani dengan caj berlebihan yang dikenakan oleh klinik swasta seperti isu pelitup muka yang pernah berdepan dengan masalah harga apabila terdapat peniaga menaikkan harga pelitup muka tanpa kawalan.

Sebelum ini, KKM memaklumkan dalam peringkat kajian bagi mengawal harga ujian saringan RT-PCR di hospital dan klinik swasta serta pengawalan harga itu boleh dilaksanakan menerusi Ordinan Darurat. - BERNAMA

Berita Harian X