Ahad, 7 Februari 2021 | 4:22pm
Dr Adham (tiga dari kanan) pada majlis penyerahan bantuan beg sekolah di Balai Raya Taman Kota Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan Pejabat Parlimen Tenggara
Dr Adham (tiga dari kanan) pada majlis penyerahan bantuan beg sekolah di Balai Raya Taman Kota Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan Pejabat Parlimen Tenggara

Lebih 6.41 juta ujian RT-PCR, RTK-Antigen dijalankan di Malaysia

KOTA TINGGI: Kerajaan sudah menjalankan lebih 6.41 juta ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) untuk mengesan jangkitan COVID-19 sehingga Jumaat lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peningkatan jumlah ujian RT-PCR dan RTK-Antigen itu susulan arahan kerajaan supaya majikan melakukan ujian terbabit kepada pekerja asing.

Pada tahun lalu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sudah melakukan lebih 3.32 juta ujian RT-PCR.

"Pada tahun ini, ujian yang sama merekodkan sebanyak 1.18 juta, manakala ujian RTK- Antigen pula merekodkan sebanyak 1.89 juta sehingga Jumaat lalu.

"Jumlah keseluruhan kedua-kedua ujian ini adalah sebanyak 6.41 juta dari tahun lalu sehingga Jumaat lalu. Ini menunjukkan satu jumlah yang tinggi bagi kedua-dua ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh satu bulan lima hari yang dilalui sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan beg sekolah di Balai Raya Taman Kota Jaya, di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, semua majikan diwajibkan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 1 Januari 2021 bagi menangani penularan pandemik itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dilaporkan berkata, kos bagi ujian saringan itu akan ditanggung oleh majikan.

Bagaimanapun, katanya, bagi pekerja asing yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), ujian saringan boleh dibuat di klinik yang telah dilantik oleh PERKESO.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, langkah kerajaan mewajibkan majikan melaksanakan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja asing yang digajikan menyaksikan berlaku peningkatan mendadak jumlah kes pesakit virus itu yang perlu dirawat.

"Bagaimanapun, kadar kesembuhan COVID-19 juga meningkat.

"Kerajaan juga baru-baru ini mengumumkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) ditubuhkan bagi memantau kes tidak bergejala yang perlu diberikan perhatian sama ada dibenarkan kuarantin di rumah, perlu ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC)," katanya.

Berita Harian X