Ahad, 7 Februari 2021 | 9:00am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

'Bayar RM3,000 seorang naik bot dari Aceh ke Malaysia'

KUALA LUMPUR: Pelarian Rohingya yang ditahan ketika diseludup menceroboh negara ini melalui perairan Selangor, selepas melarikan diri daripada kem pelarian kerajaan Indonesia di Aceh, dikesan membayar RM3,000 seorang bagi perjalanan itu.

Ia adalah tambahan kepada RM5,000 yang perlu dilangsaikan ketika dibawa keluar dari kem pelarian di Bangladesh untuk ke Malaysia, sebelum bot mereka rosak dan terdampar di perairan Aceh, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Mohammad Rosli Kassim, berkata kadar bayaran itu diketahui hasil siasatan terhadap empat suspek membabitkan dua dewasa dan dua kanak-kanak yang ditahan pasukan itu.

"Mereka menyebut nama (individu mengurus) yang sama, kita percaya lelaki itu menjadi ejen membawa pendatang Rohingya dari Bangladesh ke negara ini, sebelum terdampar di perairan Aceh.

"Difahamkan, bayaran kepada ejen dibuat ahli keluarga mereka yang berada di negara ini, sebelum ejen menguruskan kemasukan.

"Ejen sama dipercayai menguruskan kemasukan ke negara ini dari Indonesia sebelum keempat-empatnya ditahan di Pantai Morib, pada 29 Disember lalu," katanya kepada BH, semalam.

Beliau berkata, empat pelarian itu dipercayai bergerak dari Bagansiapiapi, Sumatera dan perjalanan menggunakan bot kuasa tinggi ke perairan Malaysia, mengambil masa kira-kira 90 minit.

"Ejen berkenaan turut menguruskan perjalanan dari kem penempatan pelarian di Lhokseumawe, Aceh (utara Sumatera) ke Bagansiapiapi.

"Sebaik tiba di negara ini, ejen menguruskan perjalanan dengan kereta ke beberapa rumah transit di Lembah Klang sebelum diambil ahli keluarga atau kenalan masing-masing," katanya.

Mengulas tangkapan itu, Mohammad Rosli berkata, anggota Maritim Malaysia menyedari kehadiran sebuah bot pancung menggunakan enjin berkuasa tinggi di pesisir Pantai Morib, kira-kira jam 10.15 malam.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, katanya, keempat-empat penumpang dalam bot itu terjun ke laut yang berselut kerana air surut pada waktu itu.

"Mereka dapat ditahan tetapi pemandu bot sempat meloloskan diri," katanya sambil menambah seorang tekong darat yang menunggu kehadiran empat pelarian itu dalam sebuah kereta turut ditahan.

Mohammad Rosli berkata, dua pelarian dewasa yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut, manakala dua kanak-kanak dalam lingkungan usia 10 hingga 14 tahun itu diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Pada 28 Januari lalu, ratusan etnik Rohingya dilaporkan hilang dari kem pelarian yang disediakan oleh kerajaan Indonesia di Lhokseumawe, dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

Hanya 112 pelarian masih tinggal di kem itu berbanding 400 etnik Rohingya yang tiba di negara itu antara Jun dan September tahun lalu.

Menurut ketua pasukan petugas Rohingya di Lhokseumawe, Ridwan Jamil, pelarian terbabit disyaki menghubungi penyeludup untuk membawa mereka menyeberangi Selat Melaka menuju Malaysia.

Berita Harian X