Sabtu, 6 Februari 2021 | 8:36pm
Tinjauan penginapan pekerja warga asing di tapak pembinaan sekitar Damansara Perdana, Petaling Jaya baru-baru ini. - Foto fail NSTP
Tinjauan penginapan pekerja warga asing di tapak pembinaan sekitar Damansara Perdana, Petaling Jaya baru-baru ini. - Foto fail NSTP

Persatuan saran kerajaan denda, kompaun tinggi kontraktor ingkar SOP

KUALA LUMPUR: Denda dan kompaun lebih tinggi perlu dikenakan terhadap mana-mana kontraktor yang masih gagal mematuhi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di tapak binaan yang turut meliputi penyediaan tempat tinggal pekerja.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata ini bagi memberi peringatan kepada kontraktor untuk tidak mengambil mudah arahan pematuhan SOP, sekali gus menjamin kes penularan membabitkan tapak binaan dapat diturunkan segera.

"Kontraktor mesti bertanggungjawab menjaga kebersihan bukan saja di tapak binaan, tapi penginapan pekerja. Ini penting bagi mengelakkan kerja pembinaan tidak dapat berjalan disebabkan arahan penutupan, lebih baik kita sediakan, asalkan ia tidak sampai merugikan kontraktor.

"Pekerja tapak binaan kebanyakannya adalah pekerja warga asing. Jika mereka tidak dapat bekerja, ...contohnya dalam tempoh seminggu atau lebih (kerana penutupan tapak projek), mereka tiada pendapatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yakin, kontraktor mampu menyediakan tempat tinggal yang lebih kondusif kepada pekerja pembinaan dengan mengelakkan mereka tinggal di tempat yang sesak sehingga tiada penjarakan sosial.

"Kita cari penempatan yang kondusif dan jangan biarkan mereka tinggal sampai 10 hingga 20 orang satu rumah, saya yakin kontraktor boleh lakukan," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam perutusannya Khamis lalu memaklumkan kerajaan dalam proses meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi tujuan menangani isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan tegas.

Dalam pada itu, Azman mencadangkan supaya lebih ramai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan segera di tapak pembinaan seluruh negara bagi membantu tugas penguatkuasaan SOP.

"Jangan harap penguatkuasaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semata-mata, kena ada bantuan RELA juga. RELA mempunyai anggota ramai di seluruh negara. Khidmat mereka boleh mendatangkan rasa gerun dalam kalangan pekerja asing," katanya.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan, seramai tiga juta anggota RELA di seluruh negara akan digerakkan bagi membantu tugas penguatkuasaan SOP di tempat awam dan premis perniagaan, sebagai tambahan anggota penguat kuasa sedia ada bagi melaksanakan arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berita Harian X