Jumaat, 5 Februari 2021 | 9:32pm
Anggota RELA mengawal sekitar Pasar Gunung Rapat, Ipoh ketika tinjauan pematuhan orang awam terhadap SOP PKP. -foto fail BERNAMA
Anggota RELA mengawal sekitar Pasar Gunung Rapat, Ipoh ketika tinjauan pematuhan orang awam terhadap SOP PKP. -foto fail BERNAMA

Penugasan anggota RELA bagi memastikan pematuhan SOP

KUALA LUMPUR: Seramai 30,403 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sudah digerakkan untuk penugasan yang membabitkan 157 daerah di seluruh negara bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah RELA, Yahya Sulaiman, berkata penugasan anggotanya itu juga bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP termasuk sepanjang tempoh PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

"Susulan perisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan peringkat awal pada 18 Mac lalu, RELA dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bagi melaksanakan PKP, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Justeru seramai 30,403 anggota RELA sudah digerakkan untuk penugasan yang membabitkan 157 daerah di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan tiga juta anggota RELA di seluruh negara digerakkan bagi membantu tugas penguatkuasaan pelaksanaan SOP di tempat awam dan premis perniagaan.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya, berkata langkah itu sebagai tambahan anggota penguat kuasa sedia ada bagi melaksanakan arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Yahya berkata, antara peranan anggota RELA adalah membantu PDRM dalam Task Force penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR), rondaan pemantauan di kawasan perumahan dan kampung, pasar raya, bank, serta pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tempat tumpuan orang ramai.

Selain itu, anggota RELA juga ditugaskan membantu kawalan keselamatan perimeter sekitar lokasi PKP, Pusat/Stesen Kuarantin, hospital dan membantu sesi saringan kesihatan di pintu masuk utama negara.

Anggota RELA juga akan membantu urusan penghantaran sumbangan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan dengan penyelarasan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama badan bukan kerajaan (NGO) di lapangan.

Susulan pengumuman terkini kerajaan mengenai perlanjutan tempoh PKP dan arahan di bawah Ordinan Darurat 2021, anggota RELA diarahkan untuk membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis perniagaan, tapak pembinaan/perkilangan, rumah ibadat, pasar malam serta taman awam.

Sehubungan itu katanya, anggota RELA melaksanakan tugasan omnipresent (keberadaan) dan aktiviti surveillance (pemantauan) terhadap pematuhan kepada SOP berkaitan COVID-19, memberi nasihat, peringatan, teguran kepada orang ramai dengan membuat aktiviti hebahan kempen kesihatan.

Ia merangkumi amalan pencegahan penularan COVID-19 iaitu 'Wash/Cuci, Wear/Pakai and Warn/Amaranatau 3W dan menghindari 'Crowded Place/Tempat Sesak, Confined Spaces/ Ruang Sempit@Tertutup & Close Conversation/Sembang Dekat' atau 3C.

"Pada masa sama, semua anggota diminta untuk membuat kempen kesedaran berkaitan COVID-19 secara berterusan dalam kalangan komuniti.

"Kami sedia menggandakan bilangan anggota dari semasa ke semasa untuk membantu kerajaan dalam melandaikan trend jangkitan COVID-19 ketika ini," katanya.

Berita Harian X