Jumaat, 5 Februari 2021 | 4:40pm
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika membuat pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya di Sungai Besi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika membuat pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya di Sungai Besi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

ATM ada kuasa tangkap PATI, banteras penyeludupan di sempadan

KUALA LUMPUR: Anggota tentera yang terbabit mengawasi sempadan boleh menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan membanteras aktiviti penyeludupan selaras kuasa yang diperuntukkan kepada mereka sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata hasil perbincangan bersama, penguatkuasaan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih tertumpu di kawasan sempadan.

"ATM ada kuasa untuk mengekang pergerakan PATI yang cuba melepasi sempadan kita melalui laluan tidak sah. Hasil perisikan kita sebelum ini juga mendapati masih lagi berlaku aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan," katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Sungai Besi, pagi tadi.

Terdahulu, beliau turut meninjau sekatan jalan oleh Polis Daerah Kajang, di laluan dari arah The Mines, Seri Kembangan menuju ke Putrajaya, Lebuhraya Besraya.

Sementara itu mengenai keadaan trafik, Acryl Sani berkata, polis sedar mengenai peningkatan jumlah kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan berlaku di beberapa lokasi sekatan jalan raya ketika pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berbanding PKP 1 pada 18 Mac lalu.

Ini disebabkan keputusan kerajaan untuk membenarkan hampir semua sektor perekonomian kembali beroperasi bagi memastikan keseimbangan ekonomi negara dan kesihatan semasa pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara bergerak seiringan.

"Untuk memastikan keseimbangan itu, kita dapati tugas pegawai dan anggota PDRM lebih mencabar berbanding PKP 1, di mana pada masa itu masyarakat disarankan untuk berada di rumah atau 'Stay At Home' namun pada masa PKP 2.0 ini, terdapat banyak sektor swasta dibenarkan beroperasi dan lebih ramai berada di luar termasuk peningkatan jumlah kenderaan yang keluar bekerja," katanya.

Acryl Sani berkata pada masa ini ada 532 SJR diadakan di seluruh negara selain 2,380 tim pematuhan penguatkuasaan SOP yang diketuai oleh PDRM.

Berita Harian X