Jumaat, 5 Februari 2021 | 1:14pm
KPDNHEP senaraikan 16 barangan dalam SHMMP sempena Tahun Baharu Cina. - Foto fail NSTP
KPDNHEP senaraikan 16 barangan dalam SHMMP sempena Tahun Baharu Cina. - Foto fail NSTP

KPDNHEP lancar SHMMP sempena Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SHMMP) 2021 berkuat kuasa 8 hingga 16 Februari ini.

Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata SHMMP dilaksanakan selama sembilan hari, iaitu empat hari sebelum perayaan, hari perayaan dan empat hari selepas perayaan, bagi menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 ini.

Skim itu juga secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga tidak munasabah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun perayaan ini disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka meningkat berbanding ketika bukan musim perayaan," katanya pada sidang media, hari ini.

Alexander berkata, kementerian itu mengenal pasti 16 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi, yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga daripada pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang 2020 dan pada Januari 2021.

"Ia berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP dan pandangan pelbagai agensi kerajaan berkaitan terdiri daripada Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan FAMA termasuk perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan terbabit," katanya.

Kementerian itu menetapkan SHMMP Tahun Baharu Cina 2021 bagi Semenanjung Malaysia iaitu harga ayam hidup sekilogram RM5.60 (borong) dan RM 6.10 (runcit); ayam standard (RM6.60/RM7.40); ayam super (RM7.40 /RM8.30); telur ayam gred A(0.37 sen/ 0.34 sen sebiji, telur ayam gred B 0.34 sen/0.36 sen) dan telur ayam gredC (0.33 sen/0.35 sen).

Bagi kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) ia ditetapkan pada RM 2.50 bagi harga borong dan RM3.50 harga runcit; cili merah (RM 13.00 /RM15.00); tomato (RM5.50/ RM6.50); ubi kentang import China (RM2.00/RM3.00) dan bawang putih (China RM6.50/ RM8.00).

Ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor ditetapkan pada harga RM39.00 harga borong dan RM42.00 sekilogram. Udang putih besar (antara 41 hingga 60 ekor sekilogram) ditetapkan pada harga RM34.00/RM39.00 sekilogram.

Berita Harian X