Khamis, 4 Februari 2021 | 4:46pm

Pasangan pengantin, wali luar Johor kena buat saringan COVID-19

JOHOR BAHRU: Pasangan bakal pengantin dan wali negeri berbeza perlu membuat ujian saringan COVID-19

kaedah Rapid Antigen (RTK-Ag) sebelum akad nikah dilaksanakan di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) atau Pejabat Kadi daerah seluruh Johor bermula esok.

Menerusi Pekeliling Bilangan 21 tahun 2021 JAINJ (Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah), Pekeliling Pengurusan Nikah, Cerai Dan Rujuk negeri Johor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan hari ini, pemeriksaan saringan COVID-19 RTK perlu dilakukan di pusat perubatan kerajaan atau swasta, 72 jam sebelum tarikh majlis akad nikah.

Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Shamsuddin, berkata selain itu, mereka perlu mematuhi syarat iaitu telah mendapat kebenaran rentas negeri dari pihak keselamatan.

"Pasangan pengantin dan wali yang berada dalam daerah yang sama, dibenarkan bernikah di Pejabat Kadi daerah.

"Bagi pasangan pengantin yang berada dalam daerah yang sama tetapi wali berada di luar daerah atau negeri, mereka boleh menggunakan kaedah mewakilkan wali kepada jurunikah atau wakalah wali.

"Kehadiran bagi satu majlis akad nikah yang dilaksanakan di Jabatan Agama Islam Negeri Johor atau Pejabat-Pejabat Kadi Daerah adalah tidak melebihi enam orang meliputi tiga orang dari pihak keluarga pengantin dan tiga orang daripada pihak urusetia.

"JAINJ atau Pejabat Kadi Daerah tidak akan mengeluarkan apa-apa surat sokongan kepada mana-mana pihak bagi tujuan rentas daerah atau negeri berkaitan majlis akad nikah ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Md Rofiki, pihaknya membenarkan permohonan kebenaran nikah dalam kawasan, permohonan nikah luar kawasan dan permohonan nikah dengan bukan warganegara.

Namun katanya majlis resepsi atau walimatul urus untuk majlis akad nikah itu hendaklah ditangguhkan.

"Pendaftaran cerai boleh dilaksanakan untuk mendapatkan sijil cerai sekiranya telah mendapat Perintah Pengesahan Cerai dari Mahkamah Syariah; atau boleh hadir ke kaunter Pejabat Kadi Daerah bagi tujuan khidmat nasihat atau menggunakan platform Rundingcara On-Line di Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) di pautan: sppim.gov.my

"Pendaftaran Rujuk boleh dilaksanakan dengan hadir ke pejabat kadi daerah, permohonan Pendaftaran Pengesahan Pernikahan (4P) dan Poligami (5P) boleh dilaksanakan.

"Permohonan Kad Perakuan Nikah (KPN) boleh dilaksanakan melalui Pejabat Kadi daerah atau Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah Jabatan dengan kehadiran ketika permohonan terhad kepada seorang pemohon sahaja iaitu suami atau isteri," katanya.

Berita Harian X