Khamis, 4 Februari 2021 | 1:14pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor terus zahir kebimbangan gejala rasuah, fitnah, berita palsu

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terus menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan isu membabitkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik serta penjawat awam.

Menerusi kenyataan akhbar dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda bertegas bahawa rasuah dan fitnah semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat, serta dikhuatiri mampu menghancurkan negara.

Menurut kenyataan itu, baginda juga mengingatkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang serta berdosa di sisi agama Islam.

"Baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah ini juga menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara, seterusnya mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa. Ini terbukti, melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia, tahun lalu.

"Sultan Selangor turut terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah yang berlaku di negara ini membabitkan penjawat awam.

"Oleh yang demikian, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah," jelas kenyataan itu.

Sultan Selangor berharap, agar pelaku rasuah dibanteras dengan segera berdasarkan bukti kukuh, dan diadili di mahkamah dengan pantas serta telus supaya menjadi tauladan kepada masyarakat.

Baginda juga menasihatkan setiap rakyat berperanan menghentikan perbuatan tidak bermoral yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh panjang.

Menurut kenyataan itu lagi, suasana ketika ini diburukkan lagi dengan penyebaran berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media sosial.

"Baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecah- belahkan rakyat.

"Untuk itu, Sultan Sharafuddin menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah, demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.

"Baginda percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti untuk negara yang disayangi ini serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara akan terus maju ke hadapan," kata kenyataan itu.

Berita Harian X