Rabu, 3 Februari 2021 | 8:33pm
 Foto hiasan - BERNAMA
Foto hiasan - BERNAMA

Pengusaha kedai gunting rambut rayu kebenaran beroperasi

KUALA LUMPUR: Pengusaha kedai gunting rambut dan salun merayu kerajaan membenarkan sektor itu beroperasi kerana semakin ramai yang terpaksa gulung tikar atau menutup cawangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 13 Januari lalu.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir, berkata kira-kira 40 peratus daripada 20,000 penggiat industri itu sudah gulung tikar sejak minggu kedua pelaksanaan PKP kali ini.

Katanya, penutupan operasi membabitkan sekitar 16,000 pekerja seluruh negara itu, terpaksa dilaksanakan kerana tidak mampu lagi menampung sewa premis, gaji dan komitmen lain selepas terputus mata pencarian.

"Majoriti pengusaha kedai gunting rambut dan salun masih bertatih selepas tidak dibenarkan beroperasi pada PKP pertama pada Mac tahun lalu.

"Apabila PKP kedua dilaksanakan, kami masih belum sempat bersedia, menyebabkan kami umpama telur di hujung tanduk. Akhirnya ramai yang terpaksa gulung tikar dan jumlahnya bertambah setiap hari.

"Kami memohon pertimbangan serius daripada kerajaan untuk benarkan kami beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini, atau lebih ketat jika perlu dan kami sedia untuk mematuhinya," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti permohonan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka sepanjang PKP, bersandarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengulas lanjut, TN Winda menegaskan sektor gunting rambut dan salun wajar dibenarkan beroperasi selepas terbukti mampu mematuhi SOP dengan baik ketika PKP Bersyarat (PKPB) pada Jun tahun lalu.

"Ia terbukti apabila tiada sebarang kluster gunting rambut yang berlaku sejak sektor ini dibenarkan beroperasi pada 10 Jun lalu hingga tahun ini," katanya.

Beliau memaklumkan, beberapa persatuan dalam sektor gunting rambut dan salun sudah menghantar permohonan beroperasi kepada kerajaan sejak hari kedua PKP dilaksanakan bulan lalu, namun masih tiada jawapan hingga hari ini.

"Ketika ini, permintaan gunting rambut di rumah semakin meningkat. Pihak persatuan tidak menggalakkannya kerana ia bahaya dan berisiko, namun kami tidak dapat halang, apatah lagi ia atas permintaan pelanggan sendiri.

"Daripada perkara ini berlaku tanpa kawalan, lebih baik sektor ini dibenarkan beroperasi dengan garis panduan dan SOP daripada kerajaan.

"Jika kerajaan bimbang, kami cadangkan supaya operasi kedai gunting dihadkan tempoh masa dan hanya untuk temu janji saja pada peringkat awal. Jika tiada masalah, ia boleh diteliti semula," katanya yang turut mencadangkan pembangunan aplikasi untuk memudahkan urusan tempahan.

Berita Harian X