Rabu, 3 Februari 2021 | 5:00pm

Rafflesia dijumpai di 3 lokasi di Kelantan

MACHANG: Bunga terbesar di dunia, pakma atau rafflesia ditemui di tiga lokasi di negeri ini iaitu di Hutan Simpan Kekal (HSK) Lojing, HSK Ulut Sat dan HSK Chabang Tongkat.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah, berkata rafflesia yang ditemui di HSK Lojing adalah daripada spesies kerrii dan saiznya lebih besar, manakala di HSK Ulut Sat dan Chabang Tongkat pula dari spesies Cantleyi Solms-Laubach.

"Rafflesia daripada spesies Cantleyi Solms-Laubach yang ditemui di HSK Chabang Tongkat mula dikesan kakitangan pejabat hutan jajahan Kelantan Timur tahun lalu dan pada 5 Januari lalu, saiz bunga berkenaan berkembang sehingga empat inci.

"Spesis Cantleyi Solms-Laubach adalah antara jenis tumbuhan liar yang boleh ditemui di hutan tanah rendah di Semenanjung selain terdapat bintil putih yang halus di kelopak bunganya dan lebih menarik apabila disuluh dengan cahaya lampu ia menyerupai gambar tiga dimensi (3D)," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi rafflesia di HSK Chabang Tongkat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Negeri Kelantan, Abdul Wahab Deraman.

Abdul Khalim berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan lokasi penemuan bunga rafflesia sebagai tarikan baharu bagi peminat biodiversiti selain menarik kedatangan pelancong.

"Bagi memastikan pemuliharaan bunga ini, pegawai kami sentiasa memantau tempat-tempat yang menjadi lokasi pertumbuhan rafflesia dan akan merakam gambar atau video mengenai kitaran hidup rafflesia bermula dari tarikh ia dijumpai sehinggalah hayatnya tamat.

"Walau bagaimanapun, bagi pertumbuhan bunga ini, apa yang penting adalah perumahnya iaitu stigma (Tetrastigma Planch) dan jika tidak ada perumah, tidak mungkin kita akan menjumpai rafflesia di mana-mana lokasi di negeri ini.

"Kebiasaannya rafflesia ini mengambil masa antara tujuh hingga sembilan hari untuk berkembang sepenuhnya sebelum mati," katanya.

Katanya, di kawasan hutan simpan, orang awam tidak dibenarkan masuk kerana kawasan berkenaan tidak diisytiharkan sebagai hutan terbuka dan pihaknya akan membuat kawalan dan pemantauan secara berterusan di kawasan berkenaan.

"Bagi mereka yang ingin masuk ke kawasan hutan tertutup hendaklah memohon permit memasuki hutan simpan terlebih dahulu dengan pegawai hutan daerah dan jika memasukinya tanpa permit ia adalah satu kesalahan.

"Walau bagaimanapun, kebiasaannya pihak kami tidak membenarkannya kerana tidak semua orang boleh memohon permit masuk hutan tanpa sebarang tujuan," katanya.

Rafflesia daripada spesies Cantleyi Solms-Laubach yang dijumpai di Hutan Simpan Chabang Tongkat, Machang. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Rafflesia daripada spesies Cantleyi Solms-Laubach yang dijumpai di Hutan Simpan Chabang Tongkat, Machang. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X