Rabu, 3 Februari 2021 | 1:17pm

Isa Samad kena penjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara masing-masing enam tahun bagi sembilan pertuduhan dihadapi Mohd Isa, 72, menjadikannya 54 tahun penjara, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dalam semua sembilan pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun, hukuman penjara itu diarahkan berjalan serentak. Ini bermakna Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman enam tahun penjara.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara masing-masing dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Terdahulu, Isa Samad melalui imej pautan video dilihat tenang dan hanya mendiamkan diri di kandang tertuduh sebaik mahkamah membacakan keputusannya.

Hanya isteri dan anak lelaki beliau dibenarkan memasuki kamar mahkamah dan mengikuti prosiding itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hakim Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

"Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai Menteri Besar selama dua dekad dan juga sebagai Menteri Kabinet.

"Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang mengugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

"Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

"Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan," kata hakim itu.

Mohd Isa Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Mohd Isa Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sementara itu, mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan rayuan kes dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM1.5 juta dari RM800,000.

Mahkamah memberi masa sehingga jam 2 petang esok untuk Mohd Isa membayar tambahan wang jamin dan turut memerintahkan beliau melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga tamat rayuan.

Terdahulu, Isa Samad dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Salehuddin Saidin memohon dikenakan hukuman penjara rendah yang berjalan serentak dan denda minimum dengan mengambil kira faktor umur, kerjasama yang diberikan dan pembabitannya yang tidak seberapa.

"Tertuduh adalah seorang ahli politik yang sudah lama bertapak, sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat tidak ternilai banyaknya dan jasa beliau amat diingati oleh penduduk sekeliling, terutama di Negeri Sembilan.

"Tiada elemen penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh tertuduh dan pembelian hotel itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang dan keputusan dibuat oleh semua Ahli Lembaga Pengarah," katanya.

Tambahnya, kesalahan itu tidak membabitkan ramai mangsa atau menyebabkan kerugian kepada sesiapa.

"Tertuduh adalah pesara dan tiada sumber pendapatan lain dan yang ada hanyalah wang pencen.

"Untuk tertuduh mengeluarkan jumlah yang besar, saya mohon mahkamah pertimbangkan kurangkan denda dan jumlah penjara," katanya.

Mohd Isa keluar daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah diatas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta. -NSTP/Eizairi Shamsudin
Mohd Isa keluar daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah diatas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta. -NSTP/Eizairi Shamsudin

Bagaimanapun, rayuan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz yang memohon dikenakan hukuman berat kerana tiada perasaan menyesal ditunjukkan oleh tertuduh, malah menyalahkan orang lain yang tidak didakwa.

"Pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan denda RM15.45 juta bermula hari ini mengikut Kanun Acara Jenayah.

"Kami ingin memasukkan dalam rekod, tiada penyesalan ditunjukkan tertuduh di mahkamah, pagi ini," katanya.

Mendengar bantahan itu, Salehuddin berhujah bahawa sekiranya tertuduh mengakui menyesal, ia akan secara tidak langsung mengakui pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ada kebenarannya.

"Adalah tidak adil untuk pihak pendakwaan menyatakan tertuduh tidak menyesal kerana ia tidak dapat dizahirkan.

"Namun saya boleh mengesahkan tertuduh berasa tertekan dengan hukuman yang bakal diterima dan menghormati segala keputusan yang dibuat oleh mahkamah," katanya.

Pada 16 Jun 2020, Mahkamah Tinggi memerintahkan Isa Samad untuk membela diri atas sembilan tuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan segala intipati pertuduhan.

Bagaimanapun mahkamah melepas dan membebaskan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu daripada pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Isa Samad memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pembelaan memanggil seramai enam saksi sebelum menutup kes berkenaan pada 3 September 2020.

Mohd Isa Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Mohd Isa Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Berita berkaitan:

  • Isa Samad bersalah atas 9 tuduhan rasuah
  • Mohd Isa dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
    Mohd Isa dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
    Berita Harian X