Isnin, 1 Februari 2021 | 3:35pm
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy.

MMA anggap caj saringan COVID-19 memadai

KUALA LUMPUR: Caj bagi ujian saringan COVID-19 sukar diturunkan berikutan penetapan harga kebanyakan klinik dan hospital swasta adalah mengikut harga pasaran.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata caj dikenakan klinik swasta ketika ini adalah dalam lingkungan RM150 hingga RM200 yang dilihat berpatutan dengan harga pasaran.

"Klinik dan hospital swasta menanggung kos tetap tertentu seperti penggunaan set pakaian pelindung diri (PPE) serta prosedur lain untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

"Memang ada klinik meletak harga di bawah RM100 tetapi untuk meminta semua klinik dan hospital swasta melakukannya adalah tidak patut," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, mencadangkan kerajaan berunding dengan klinik dan hospital swasta dalam penetapan harga lebih rendah untuk ujian saringan COVID-19 menggunakan Kit Ujian RTK-Ag.

Ia secara tidak langsung dapat menarik orang ramai terutama pekerja asing yang tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melakukan ujian berkenaan.

Malah, beberapa ahli parlimen pembangkang juga menganjurkan ujian saringan COVID-19 menggunakan teknik RTK-Ag dengan harga serendah RM70 dengan memberi jaminan keputusannya itu mampu diperoleh seawal tiga tiga jam.

Dr Subramaniam berkata, ketika ini caj ujian dipersetujui kerajaan dan rata-rata klinik swasta adalah pihak terlatih yang sudah mengikuti latihan.

"Dalam melakukan ujian ini, petugas klinik tidak hanya memakai pelitup muka kerana itu bukan PPE, jadi caj sekarang ini memang berpatutan dan mengikut harga pasaran.

"Paling penting klinik itu mempunyai sijil latihan untuk saringan COVID-19 yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), sekali gus pesakit boleh menjalani ujian tanpa komplikasi, selamat dan keputusannya tepat," katanya.

Berita Harian X