Isnin, 1 Februari 2021 | 1:37pm

Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera selamat dikebumi

JASIN: Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, di sini, jam 12.40 tengah hari tadi.

Ketibaan jenazah menggunakan van disediakan masjid kariah Simpang Bekoh itu turut diiringi beberapa ahli keluarga kandung dan keluarga angkat mangsa.

Sebelum itu, jenazah kanak-kanak lelaki dipanggil 'Adik' itu tiba di Madrasah Asy-Syakirin, Kampung Simpang Bekoh, jam 11 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Turut hadir, ahli keluarga angkat mangsa, termasuk ibu bapa angkatnya, Norlida Abu Hassan dan Md Tarmidi Yaaccob.

Keluarga angkat mangsa turut hadir pada majlis pengebumian. - NSTP/Amir Mamat
Keluarga angkat mangsa turut hadir pada majlis pengebumian. - NSTP/Amir Mamat

Polis dilihat mengawal ketat kawasan madrasah dan tanah perkuburan dengan hanya ahli keluarga serta beberapa penduduk kampung dibenarkan memasuki kedua-dua lokasi berkenaan.

Wakil media yang membuat liputan pula tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah perkuburan atas permintaan keluarga kandung.

Terdahulu, jenazah dibawa dari Hospital Melaka kira-kira jam 10 pagi selepas dituntut wakil keluarga kandung mangsa.

Keluarga angkat terpaksa akur dengan keputusan dicapai menerusi perbincangan kedua-dua pihak, lewat malam tadi.

Norlida dan Md Tarmidi sebelum ini dilaporkan memohon kebenaran keluarga kandung mangsa supaya jenazah dikebumikan di Rawang, Selangor, namun ditolak.

Proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu bermula kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum selesai jam 10 malam tadi.

Polis dilapor mengesahkan ada beberapa kesan lebam, termasuk luka lama dan baharu pada anggota badan mangsa, khususnya di kepala serta belakang badan kanak-kanak itu.

Van membawa jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera tiba di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin. - NSTP/Amir Mamat
Van membawa jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera tiba di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin. - NSTP/Amir Mamat

Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, hari ini. - Foto BERNAMA
Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X