Ahad, 31 Januari 2021 | 3:43pm

Polis rampas dadah bernilai RM3.67 juta

KULIM: Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.67 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang di sini.

Dalam serbuan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kedah pada 27 Januari lalu bermula jam 10.45 hingga 11.55 pagi itu, empat individu termasuk seorang wanita berusia 32 hingga 33 tahun ditahan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata penahanan keempat-empat suspek itu susulan tangkapan operasi di Selangor sebelum ini.

Beliau berkata, tiga suspek ditahan di sebuah rumah, manakala seorang lagi di tepi jalan dengan semua mereka dipercayai mempunyai hubungan rakan.

"Pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemui beberapa jenis dadah terdiri jenis ecstasy seberat 11.18 kilogram (kg), ketamin (17.8 kg), Erimin 5 (20.22 kg), minuman jus (20.15 kg) dan mushroom (410 gram).

"Semua dadah yang dirampas berjumlah RM3.67 juta dan dianggarkan untuk kegunaan seramai 198,036 penagih dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, hari ini.

Turut dirampas dalam operasi itu, lapan kenderaan iaitu BMW 118i, Honda CRV, Honda Accord, Honda City, Honda Civic, Toyota Camry, Perodua Myvi dan motosikal berkuasa tinggi dianggarkan bernilai RM484,400 serta wang tunai RM4,000.

Razarudin berkata, lokasi serbuan bukannya tempat pemprosesan dadah, sebaliknya lebih kepada pembungkusan bahan terlarang berkenaan.

"Polis percaya bekalan dadah ini untuk pasaran di sekitar Kedah dan Pulau Pinang dan kumpulan itu bergiat aktif sejak September tahun lalu.

"Semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 3 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dua daripada suspek yang ditahan turut positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin," katanya.

Razarudin (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM3.67 juta dalam serbuan berasingan di Kedah dan Pulau Pinang. - Foto NSTP/ Zuliaty Zulkiffli
Razarudin (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM3.67 juta dalam serbuan berasingan di Kedah dan Pulau Pinang. - Foto NSTP/ Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X