Ahad, 31 Januari 2021 | 2:48pm
Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi tujuan saringan COVID-19. - Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi tujuan saringan COVID-19. - Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Syor klinik, hospital swasta turunkan kos ujian RTK-Ag

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu berunding dengan klinik dan hospital swasta dalam penetapan harga lebih rendah untuk ujian saringan COVID-19 menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata dengan cara berkenaan ia secara tidak langsung dapat menarik orang ramai terutama pekerja asing yang tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk melakukan ujian berkenaan.

"Saringan dalam kalangan pekerja asing kini perlu diperluaskan, majikan perlu memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk membuat saingan COVID-19 supaya individu yang dijangkiti diasingkan secepat mungkin.

"Memandangkan pekerja asing kini dikehendaki untuk menjalani ujian calitan, pihak swasta seharusnya mengurangkan kos RTK-Ag kerana kadarnya kini amat tinggi kira-kira RM200 bagi setiap ujian.

"Sekiranya kerajaan boleh bincang dengan sektor swasta untuk mengurangkan kos dalam kadar yang mampu, ia secara tidak langsung dapat menggalakkan majikan atau masyarakat tempatan untuk menjalani ujian secara sukarela," katanya kepada BH, hari ini.

Lam Thye berkata dalam ekonomi sekarang, sukar untuk rakyat mengeluarkan belanja untuk melakukan saringan.

"Diharapkan hal ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan dan sektor swasta. Selain meminta rakyat untuk patuh dengan prosedur operasi standard (SOP), ujian saringan ini juga penting dalam membendung penularan COVID-19," katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata kes baharu COVID-19 yang dilaporkan saban hari juga membimbangkan namun kerajaan tidak boleh terus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung kerana ia memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Keputusan kerajaan untuk membenarkan aktiviti ekonomi ini adalah perlu kerana ia mampu menjana pendapatan terutamanya kepada peniaga kecil, namun masyarakat perlu memainkan peranan untuk patuh SOP.

"Rakyat Malaysia seharusnya menganggap kepatuhan SOP ini sebagai satu tanggungjawab penting mereka kepada negara serta ia sebagai satu tindakan yang patriotik.

"Ini adalah masa untuk rakyat membuktikan sifat patriotik mereka kepada negara. Walaupun ia akan mengambil masa namun pematuhan SOP dengan berdisiplin ini mampu mengurangkan kes jangkitan baharu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan program saringan COVID-19 bagi pekerja asing di bawah PERKESO yang sebelum ini hanya dilaksanakan di enam negeri berisiko tinggi kini diperluaskan ke seluruh negara bermula 2 Februari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dilaporkan berkata untuk tujuan itu, PERKESO menyediakan tambahan peruntukan sebanyak RM54 juta.

Bagi pekerja asing yang bukan pencarum PERKESO, Saravanan memberitahu, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Ini kerana katanya, keperluan menjalani saringan COVID-19 itu adalah diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berita Harian X