Sabtu, 30 Januari 2021 | 1:16pm

Saringan COVID-19 pekerja asing diperluas mulai 2 Februari

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan memperluaskan program saringan COVID-19 bagi pekerja asing ke seluruh negara bermula 2 Februari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu dan pengumuman bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) oleh Perdana Menteri.

"Program ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama klinik swasta di seluruh negara.

"Ujian saringan ini akan menggunakan kaedah RTK-Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana kos bagi kit ujian dibiayai oleh PERKESO," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital.

Katanya, PERKESO menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta bagi program itu.

"Bagi pekerja asing yang bukan pencarum PERKESO, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan," katanya.

Saravanan berkata, keperluan menjalani saringan COVID-19 itu diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sehubungan itu, beliau berkata, pematuhan kepada keperluan itu akan dipantau oleh kementerian.

Beliau juga berkata senarai klinik yang menawarkan saringan COVID-19 di bawah program itu boleh didapati di portal Program Saringan Prihatin (PSP) menerusi https://psp.perkeso.gov.my.

Katanya, maklumat lanjut berkenaan program itu termasuk senarai klinik akan dikemaskini di portal PSP di pautan https://psp.perkeso.gov.my dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emelhsp@perkeso.gov.my atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.

Bulan lalu, Saravanan berkata semua pekerja asing wajib menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 1 Januari 2021 bagi menangani penularan pandemik itu dengan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan.

Dalam kenyataan sebelum ini, PERKESO memaklumkan pihaknya menyediakan hampir satu juta kit ujian RTK-Antigen untuk pekerja asing menjalani ujian saringan COVID-19.

Kit ujian itu diagihkan secara percuma kepada klinik yang menyertai Program Saringan COVID-19 bagi pekerja asing, bermula secara berperingkat sejak 1 Disember lalu.

Berita Harian X