Sabtu, 30 Januari 2021 | 10:13am

48 petugas kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah dijangkiti COVID-19

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) mengesahkan seramai 48 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dijangkiti COVID-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata semua pertugas itu sudah diasingkan dan siasatan untuk mengenalpasti punca jangkitan sedang dijalankan.

Beliau berkata, kontak rapat bagi kes itu juga sudah menjalani proses saringan dan turut diasingkan.

"Bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan untuk rawatan kes ringan, Jabatan Kecemasan & Trauma di HSNZ terpaksa ditutup sementara, berkuat kuasa semalam.

"Perkhidmatan pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan perkhidmatan di unit rawatan rapi (ICU), dewan bedah serta perkhidmatan kecemasan masih berjalan," katanya melalui keyataan, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata demikian sebagai mengulas maklum balas mengenai anggota kesihatan di HSNZ disahkan positif COVID-19, sehingga menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas seperti ditularkan melalui pelbagai laman sosial, semalam.

Katanya, walaupun 48 petugas kesihatan di HSNZ disahkan positif COVID-19, keadaan masih terkawal.

"Orang ramai yang memerlukan rawatan bagi kes ringan masih boleh mendapatkan perkhidmatan di Jabatan Pesakit Luar di HSNZ dan klinik kesihatan berdekatan," katanya.

Dr Nor Azimi juga meminta orang ramai untuk tidak menularkan berita yang belum sahih bagi mengelakkan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"JKNT memberi jaminan akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan serta pesakit di kawasan hospital," katanya.

Berita Harian X