Jumaat, 29 Januari 2021 | 10:02pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Maritim Malaysia pantau semua jenis bot dari Indonesia

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpukan pemantauan terhadap semua jenis bot yang melalui perairan negara dari Indonesia, bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pelarian Rohingya ke Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata sindiket membawa PATI memasuki negara ini disyaki menggunakan bot nelayan, bot kecil dan bot perdagangan tukar barang.

Beliau berkata, antara taktik digunakan sindiket dari Indonesia dan Malaysia untuk membawa masuk PATI, termasuk pelarian Rohingya, ialah memuatkan mereka dalam bot kecil di kawasan sempadan sebelum dibawa ke daratan.

"Pelarian Rohingya sering menjadikan negara ini destinasi akhir berdasarkan hasil siasatan kes penyeludupan PATI di utara tanah air pada awal tahun lalu.

"Kita tahu bahawa mereka akan meneruskan perjalanan ke Malaysia kerana keluarga mereka telah berada di sini, dan akan menggunakan pelbagai cara serta helah untuk sampai ke negara ini," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

Mohd Zubil berkata, semua pintu masuk serta lorong tikus di kawasan persempadanan negara sudah dikawal ketat menyebabkan sindiket terbabit mengubah destinasi ke Aceh, Indonesia, dan menjadikan Aceh pusat transit.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersedia untuk menyekat kemasukan PATI, dengan menempatkan aset termasuk sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), di lokasi strategik.

Malah, katanya, Maritim Malaysia bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua aset bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) menerusi Op Benteng, untuk mengawal ketat kemasukan pelarian Rohingya dan PATI dari negara jiran yang lain. – BERNAMA

Berita Harian X