Jumaat, 29 Januari 2021 | 9:08pm
(Gambar fail) Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - FOTO BERNAMA

Pengecualian perbaharui LKM, CDL 1 Februari hingga 31 Mac

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi pengecualian kepada semua pemilik kenderaan persendirian bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL), berkuat kuasa 1 Februari hingga 31 Mac depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pemandu bagaimanapun perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan itu kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

"Pemegang LKM dan CDL yang sudah atau bakal tamat tempoh, hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian, iaitu hingga 30 April 2021," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ka Siong berkata, pengecualian itu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Bagaimanapun, pengecualian tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL serta PSV).

Ini kerana perkhidmatan pembaharuan berkait mereka, masih dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengecualian memperbaharui LKM dan CDL pernah dilaksanakan dari 25 Mac hingga 30 September tahun lalu ketika penguatkuasaan PKP yang pertama.

Ka Siong sekali gus mengingatkan orang ramai supaya menjadi pemandu berhemah dan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh PKP. - BERNAMA

Berita Harian X