Jumaat, 29 Januari 2021 | 4:12pm
Penolong Pengurus, Pusat Internet (PI) Malaysia, Seberang Jertih, Wan Nur Fatahiyah Wan Azmee (kanan) membantu pengunjung menggunakan kemudahan yang disediakan di PI Malaysia Seberang Jertih, Besut di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Penolong Pengurus, Pusat Internet (PI) Malaysia, Seberang Jertih, Wan Nur Fatahiyah Wan Azmee (kanan) membantu pengunjung menggunakan kemudahan yang disediakan di PI Malaysia Seberang Jertih, Besut di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Guna Wi-Fi Pusat Internet Malaysia ikuti PdPR

JERTIH: Ramai kalangan pelajar di daerah ini memanfaatkan akses internet stabil di Pusat Internet Malaysia untuk mengikuti kelas pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian.

Penolong Pengurus, Pusat Internet (PI) Malaysia, Seberang Jertih, Wan Nur Fatahiyah Wan Azmee, berkata jumlah komputer yang disediakan di pusat internet itu agak terhad, hanya lima daripada sepuluh unit yang tersedia dibuka bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial dipatuhi.

Sebab itu, ada pelajar terutama penuntut universiti yang mempunyai komputer riba peribadi datang ke sini untuk mendapatkan sambungan Wi-Fi di pusat itu bagi mengikuti kelas.

"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah kehadiran pengunjung sederhana berbanding hari biasa tetapi sentiasa ada.

"Kebanyakan yang datang ke sini selain menggunakan perkhidmatan internet, mereka juga meminta bantuan mengisi borang permohonan bantuan dalam talian, pendaftaran sekolah, mencetak tugasan kerja sekolah anak dan pelbagai urusan lain.

"Kami juga membantu usahawan kecil yang ingin memulakan perniagaan secara dalam talian dengan mengajar cara membuka akaun di Shoppe untuk memasarkan produk dan pelbagai platform lain," katanya yang ditemui di Pusat Internet (PI) Malaysia, Seberang Jertih, hari ini.

Sementara itu di Segamat, Pengurus Pusat Internet Komuniti FELDA Medoi, Nornira Noor Ahmad, berkata penduduk sekitar boleh menggunakan 20 unit kemudahan komputer dan internet disediakan di pusat itu termasuk untuk mengikuti PdPR dan kelas pelajar institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun, Nornira berkata, ketika PKP hanya lima pengujung dibenarkan berada dalam premis bagi menjaga penjarakan fizikal dan pematuhan SOP.

Pengurus Felda Medoi, Mohd Amri Abdul Hamid berkata, sejak 10 tahun lalu, pusat internet itu memanfaatkan 1,700 penduduk daripada 465 keluarga termasuk generasi kedua FELDA.

Berita Harian X