Khamis, 28 Januari 2021 | 2:06pm
Aktiviti kuari di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung dikatakan menjejaskan Pantai Teluk Akuan yang menjadi lokasi penyu bertelur dengan sedimen tanah. - Foto fail ihsan KUASA
Aktiviti kuari di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung dikatakan menjejaskan Pantai Teluk Akuan yang menjadi lokasi penyu bertelur dengan sedimen tanah. - Foto fail ihsan KUASA

JAS kesan 3 ketidakpatuhan pengusaha kuari di Teluk Akuan, Segari

MANJUNG: Pihak yang menjalankan aktiviti kuari berhampiran Pantai Teluk Akuan, Segari dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, di sini, dikesan melakukan tiga ketidakpatuhan syarat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul, berkata tindakan akan diambil mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

JAS Perak juga mengeluarkan notis arahan henti kerja dan tindakan remedi kepada pengusaha kuari berkenaan mengikut Seksyen 31 akta sama.

Sedimen tanah merah terdampar di Pantai Teluk Akuan dan masuk ke laut. - Foto fail ihsan KUASA
Sedimen tanah merah terdampar di Pantai Teluk Akuan dan masuk ke laut. - Foto fail ihsan KUASA

"Pemeriksaan mendapati terdapat pelanggaran syarat kelulusan EIA oleh pihak berkenaan. Dalam tindakan ada tiga (ketidakpatuhan EIA) dan ada kesalahan lain dalam penilaian lanjut.

"Status air pelepasan semasa pemeriksaan adalah baik, tetapi kesan sedimen jelas di tebing alur air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Pantai Teluk Akuan yang menjadi lokasi pendaratan penyu bertelur sudah terjejas dengan sedimen tanah dipercayai susulan aktiviti kuari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, tidak jauh dari situ.

Berita Harian X