Rabu, 27 Januari 2021 | 2:15pm
 Solat fardu dengan 15 jemaah dan solat Jumaat sehingga 45 jemaah dibenarkan di semua masjid serta surau di Pulau Pinang bermula hari ini.-/Foto NSTP
Solat fardu dengan 15 jemaah dan solat Jumaat sehingga 45 jemaah dibenarkan di semua masjid serta surau di Pulau Pinang bermula hari ini.-/Foto NSTP

Pulau Pinang benarkan 15 jemaah solat fardu di semua masjid, surau

GEORGETOWN: Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat di semua masjid serta surau di negeri itu, namun dengan jumlah jemaah dibenarkan saja, berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata pihaknya mengadakan mesyuarat khas semalam dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu urusan ibadah orang Islam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan dengan maksimum 15 jemaah, manakala solat Jumaat membabitkan 12 hingga 45 jemaah dalam kalangan warganegara berusia 15 hingga 70 tahun, termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid serta siak.

"Pelaksanaan bagi solat jenazah untuk bukan COVID-19 di masjid dan surau dihadkan kepada 20 orang saja, namun ziarah kubur selepas pengebumian selesai masih tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata MAINPP juga bersetuju menyediakan ruang solat untuk musafir di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya.

Beliau berkata, laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada 'sollu fi buyutikum' (solatlah di rumah kamu).

Katanya, selain itu, aktiviti bacaan Yassin dan tahlil selepas solat fardu turut dibenarkan, namun terhad kepada 15 orang membabitkan pegawai masjid, siak dan ahli jawatankuasa kariah saja.

"Setakat ini, semua aktiviti pengimarahan dan aktiviti sosial secara bersemuka tidak dibenarkan termasuk tazkirah serta kuliah yang dijalankan di masjid atau surau," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, urusan akad nikah dibenarkan berlangsung di Pejabat Agama Daerah masing-masing, namun terhad kepada 10 individu.– BERNAMA

Berita Harian X