Rabu, 27 Januari 2021 | 7:59am
Louis Gombolong dan isterinya, Floren Basin menemani tiga anak mereka yang terpaksa berkongsi satu telefon bimbit bagi membolehkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Maang, Penampang. - Foto NSTP/Malai Rosma Tuah
Louis Gombolong dan isterinya, Floren Basin menemani tiga anak mereka yang terpaksa berkongsi satu telefon bimbit bagi membolehkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Maang, Penampang. - Foto NSTP/Malai Rosma Tuah

PdPR: Keluarga B40 perlu bantuan komputer, data internet

PENAMPANG: Ibu bapa berpendapatan rendah di Sabah berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan internet dan komputer riba percuma untuk meringankan beban membiayai pendidikan anak secara dalam talian.

Seorang bapa dari Kampung Maang, di sini, Louis Gombolong, 43, berkata tanpa bantuan kerajaan, ibu bapa dalam kategori B40 termasuk beliau pasti berdepan masalah jika kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) berlarutan untuk jangka masa lama.

Katanya, paling merisaukan beliau ialah kos jangka panjang yang terpaksa ditanggung untuk membeli data internet bagi membolehkan anak-anaknya mengikuti PdPR.

"Saya bimbang tidak dapat menanggung kos data internet jika kaedah PdPR ini berlanjutan dalam tempoh yang panjang," katanya ketika ditemui, di sini.

Pekerja pengurusan sisa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu menanggung empat anak yang masih bersekolah rendah dan menengah dengan tiga daripadanya mengikuti kelas secara PdPR, selain seorang lagi sedang belajar di universiti di Johor.

Dua anaknya, masing-masing berumur tujuh dan sembilan tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) St Aloysius, manakala dua lagi yang berumur 14 dan 17 tahun bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, di sini.

"Tiga anak saya bergilir-gilir menggunakan satu telefon bimbit untuk mengikuti PdPR, manakala seorang yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hadir ke sekolah seperti biasa.

"Nasib baik juga pihak sekolah pun tahu kekangan dihadapi ibu bapa, jadi semua arahan hanya diberikan melalui kumpulan Whatsapp," katanya.

Louis berkata, peralihan kaedah persekolahan tradisional kepada secara dalam talian adalah sesuatu yang sukar untuk ditampung oleh keluarganya.

Berikutan masalah dihadapi ibu bapa sepertinya, Louis berharap sesi pembelajaran di sekolah dapat kembali dilaksanakan secara bersemuka supaya guru dan murid dapat berinteraksi dengan lebih baik, selain memastikan anak lebih berdisiplin ketika belajar.

Katanya, kaedah PdPR yang menggunakan persidangan video bersama guru dengan menggunakan telefon bimbit yang saiz skrinnya begitu kecil tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Beliau turut berharap, kerajaan dapat membantu menyediakan komputer riba dan internet percuma kepada golongan B40 sepertinya untuk membolehkan pelaksanaan PdPR secara dalam talian lebih selesa.

Louis berkata, setakat ini beliau tidak menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan walaupun keluarganya dikategorikan di bawah B40.

Kelmarin, dalam satu kenyataan dikeluarkan Yayasan Hasanah, satu usaha dikenali sebagai Inisiatif CERDIK untuk menyediakan akses digital kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan dilaksanakan bulan depan.

Inisiatif di bawah Belanjawan 2021 itu membabitkan kos RM150 juta yang merangkumi penyediaan komputer riba, tablet dan data internet untuk mengikuti PdPR secara dalam talian.

Berita Harian X