Selasa, 26 Januari 2021 | 5:31pm

Penyelidikan nadir bumi tidak beradiokatif di 4 negeri

PUTRAJAYA: Penyelidikan dan pembangunan ujian rintis perlombongan nadir bumi tidak beradioaktif (NR REE) akan dilaksanakan di empat negeri iaitu Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah.

Penyelidikan itu bakal dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan syarikat berasaskan perlombongan mineral, Greensnow Technology Sdn Bhd (GTSB).

Ketua Pengarah GTSB, Nik Abdul Mubin Nik Mahmood, berkata pihak syarikat akan membiayai kos penyelidikan berjumlah RM450,000 dalam tempoh 12 bulan, manakala Nuklear Malaysia akan menjalankan penyelidikan terhadap bidang penerokaan perlombongan NR REE.

"Lokasi tepat belum dimuktamadkan kerana kami masih menunggu kebenaran daripada kerajaan negeri sebelum boleh memulakan kerja-kerja penyelidikan," kata Nik Abdul Mubin menerusi sidang media dalam talian secara langsung selepas majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) Kerjasama antara GTSB dengan Nuklear Malaysia, hari ini.

MoA berkenaan ditandantangani oleh Nik Abdul Mubin bagi pihak GTSB manakala Nuklear Malaysia diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Siti A'iasah Hashim.

Menurut Nik Abdul Mubin, antara kajian yang akan dijalankan oleh Nuklear Malaysia ialah mengenal pasti kesan perlombongan dengan menggunakan teknik 'insitu leaching' untuk meleraikan unsur-unsur nadir bumi yang berharga seperti neodymium, praseodymium, cerium dan lain-lain yang terdapat dalam tanah liat dan batuan.

"Kami mengadakan kajian kerjasama dengan Nuklear Malaysia memandangkan kepakaran dan fasiliti penyelidikan yang lengkap dan canggih serta kami yakin dengan pengalaman dan kepakaran pegawai-pegawai di Nuklear Malaysia," katanya.

MoA itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak di mana pihak Nuklear Malaysia boleh menggunakan data-data untuk membuat kajian lanjutan berkaitan unsur-unsur nadir bumi, manakala pihak syarikat boleh memanfaatkan data-data untuk melakukan kerja perlombongan nadir bumi di masa akan datang, katanya.

Sementara itu, Siti A'iasah berkata menerusi MoA itu, GTSB akan mencari kawasan berpotensi manakala Nuklear Malaysia pula akan melihat kesesuaian sesuatu kawasan untuk dilombong dan pematuhan keperluan keselamatan alam sekitar.

"Apa yang kami buat ini 'pre-mining' atau sebelum melakukan sesuatu aktiviti perlombongan, kami memastikan kawasan yang nak dilombong itu secara ekonominya adalah feasible (boleh laksana) dan menepati aspek kawalan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata kajian yang dijalankan bukan sahaja memfokuskan kepada kehadiran NR REE tetapi juga boleh mengesan sekiranya wujud bahan galian lain termasuk petroleum.

Ditanya kebimbangan wujudnya elemen radioaktif di kawasan perlombongan, Siti A'iasah berkata kerjasama itu membabitkan bahan nadir bumi tidak beradioaktif dan sekiranya ada pun, unsur elemen radioaktifnya sangat rendah.

"Kami menjangka memang akan ada unsur radioaktif dan unsur tidak radioaktif walaupun skop perlombongan adalah tidak radioaktif tetapi apabila kami nak buat persampelan atau nak mengambil tanah, kami akan menjaga aspek keselamatan sinaran dan keselamatan alam sekitar," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X