Selasa, 26 Januari 2021 | 7:43am

AKSEM rampas 420 kg daun ketum

PADANG BESAR: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas daun dan air ketum serta ubat batuk bernilai RM90,720 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Mawar, Kok Mak di sini.

Dalam operasi jam 2.30 petang semalam itu, seorang lelaki tempatan berusia 20-an ditahan bersama 420 kilogram (kg) daun ketum, air ketum dan ubat batuk.

Rumah didiami suspek dipercayai dijadikan sebagai pusat transit penyimpanan bahan terlarang berkenaan.

Komander AKSEM negeri, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata rampasan dan penahanan suspek yang bekerja sendiri itu dilakukan hasil intipan dan risikan anggotanya selama seminggu.

Beliau berkata, ketika intipan dilakukan pihaknya melihat suspek berulang-alik dari kereta Honda City berwarna putih memasuki rumahnya dengan membawa beberapa bungkusan plastik besar berwarna hitam.

"Kita percaya ia (plastik berwarna hitam) mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 120 kg yang diletakkan di dalam but kereta itu.

"Ketika serbuan, suspek gagal melarikan diri, sebelum anggota memasuki rumahnya untuk pemeriksaan dan menemui 300 kg daun ketum, 214 bungkusan air ketum yang diletakkan dalam sebuah peti plastik dan 217 botol ubat batuk," katanya kepada media di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan daun ketum itu untuk di seludup ke Thailand, manakala air ketum serta ubat batuk pula dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Hasil pemeriksaan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lalu dan saringan ujian air kencing juga negatif dadah.

"Kita sedang menyiasat dari mana suspek memperoleh bekalan ini. Difahamkan, harga jualan bagi daun ketum di Thailand dianggarkan bernilai RM120 kg, manakala air ketum pula dijual pada harga antara RM5 hingga RM8," katanya pihak berkuasa itu turut merampas sebuah kereta milik suspek.

Rodzi berkata, semua barangan rampasan dan suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Anggota AKSEM menunjukkan 420 kg daun ketum yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Padang Mawar, Kok Mak. - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Anggota AKSEM menunjukkan 420 kg daun ketum yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Padang Mawar, Kok Mak. - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X