Ahad, 24 Januari 2021 | 4:18pm

Satu lagi khazanah alam di Hutan Simpan Segari Melintang terjejas

MANJUNG: Pantai Teluk Akuan, Segari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, di sini, turut didakwa terjejas dipercayai susulan aktiviti kuari.

Pantai berkenaan menjadi antara lokasi pendaratan penyu bertelur sebelum ini, kini dikatakan tercemar dengan kesan tanah di perairan kawasan itu.

Tanah merah terdampar di pantai selatan Teluk Akuan memasuki laut. - Foto ihsan KUASA
Tanah merah terdampar di pantai selatan Teluk Akuan memasuki laut. - Foto ihsan KUASA

Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ismady Radzuan mendakwa anak sungai di selatan Teluk Akuan kini berubah berwarna dipercayai kesan daripada aktiviti manusia di kompartmen 22.

Di kawasan pantai juga terdapat tanah merah yang mengalir ke laut dan perkara itu baharu dikesan semalam melalui tinjauannya.

"Kami masuk ke dalam (kawasan hutan) ikut laluan anak sungai, mendapati tanah merah terhakis dan memenuhi sebahagian hutan simpan sehingga mengakibatkan sesetengah kawasan ada pokok mati akibat timbunan tanah merah dari bukit di kompartmen 22.

Ismady di kawasan dipercayai punca tanah merah di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari dipercayai daripada perbuatan manusia. - Foto ihsan KUASA
Ismady di kawasan dipercayai punca tanah merah di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari dipercayai daripada perbuatan manusia. - Foto ihsan KUASA

"Tanah merah ini kemudian terdampar di pantai selatan Teluk Akuan memasuki laut. Tanah merah itu berkemungkinan besar daripada aktiviti manusia di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari Melintang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismady berkata, apa yang dibimbangkan ketika ini adalah fungsi Pantai Teluk Akuan yang selama ini menjadi kawasan persinggahan nelayan berlindung daripada ribut dan mengambil air bersih dari air terjun berhampiran akan terjejas.

Rakaman dron, air tanah merah memenuhi anak sungai di selatan pantai Teluk Akuan memasuki laut. Sepanjang laluan anak sungai (hujung belah selatan) dipenuhi tanah merah bercampur pasir. - Foto ihsan KUASA

Sebelum ini pantai Teluk Akuan menjadi antara lokasi pendaratan penyu dan nelayan yang membawa kami ke sana turut mendakwa masih ada penyu mendarat.

Menurut nelayan, sepanjang pantai bermula daripada Utara Hutan Simpan Segari Melintang, pantai Pasir Panjang dan Sungai Puyu serta pantai di Hutan Simpan Tanjung Hantu adalah pantai pendaratan penyu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membuat pemeriksaan lanjut di lokasi.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul turut mengesahkan sudah menghantar pegawai ke lapangan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu pagi ini.

"Insya-Allah pegawai JAS, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geologi Perak serta pegawai dari pejabat EXCO negeri akan ke lapangan bagi menjalankan siasatan," katanya.

 Punca tanah merah daripada aktiviti manusia di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari Melintang. - Foto NSTP/ihsan KUASA
Punca tanah merah daripada aktiviti manusia di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari Melintang. - Foto NSTP/ihsan KUASA
Berita Harian X