Ahad, 24 Januari 2021 | 2:18pm

PdPR: Permintaan untuk komputer riba terpakai meningkat mendadak

JOHOR BAHRU: Kedai menjual komputer riba terpakai kini menjadi tumpuan ibu bapa yang kurang berkemampuan, untuk memenuhi keperluan anak mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pemilik sebuah kedai terbabit di Bandar Baru Uda (BBU), di sini, Mohd Kliber Tajuddin, 37, berkata beliau sudah menjual 15 komputer riba terpakai pada harga serendah RM500 seunit kepada ibu bapa sejak sesi persekolahan 2021 dibuka.

Malah, beliau berkata, kedainya masih terus menerima pertanyaan daripada ramai ibu bapa mengenai stok komputer riba terpakai pada harga mampu milik.

"Jualan komputer riba terpakai di kedai saya dan rakan penjual lain meningkat mendadak sejak sesi persekolahan dibuka berikutan pelajar terpaksa mengikuti kelas secara dalam talian ketika ini.

"Ramai ibu bapa masih datang dan menghubungi saya untuk mendapatkan komputer riba terpakai. Kebanyakan komputer riba terbabit adalah buatan China, selain United Kingdom, yang kami lakukan naik taraf bersesuaian sebelum dijual.

"Lazimnya, saya akan bertanya ibu bapa mengenai anggaran bajet mereka sebelum membantu mencari model komputer riba terpakai yang bersesuaian, dengan khidmat nasihat termasuk selepas jualan diberi secara percuma.

"Saya juga berusaha mendapatkan komputer riba terpakai daripada rakan penjual lain susulan permintaan meningkat mendadak sejak minggu lalu," katanya ketika ditemui.

Sementara itu Mohd Nor Abdul Rahman, 43, yang mencari komputer riba untuk kegunaan anak saudaranya, Nawaitul Hasanantun Aisah Muhammad, 16, berkata harga komputer riba baharu dalam pasaran adalah di luar kemampuan beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Beliau berkata, anak saudaranya itu menggunakan telefon bimbit ibu untuk mengikuti kelas dalam talian, tahun lalu, namun berdepan kesukaran termasuk dengan capaian Internet kurang stabil.

"Apabila melihat komputer riba baharu berharga RM1,500 ke atas, saya tidak mampu membelinya lalu mengambil keputusan mendapatkan yang terpakai bagi membantu anak saudara mengikuti PdPR," katanya.

Mohd Kliber memberi penerangan kepada Nawaitul Hasanantun Aisah mengenai komputer riba terpakai yang dijual di kedainya. - NSTP/ZAIN AHMED
Mohd Kliber memberi penerangan kepada Nawaitul Hasanantun Aisah mengenai komputer riba terpakai yang dijual di kedainya. - NSTP/ZAIN AHMED
Berita Harian X