Ahad, 24 Januari 2021 | 2:10pm
Kerajaan digesa menyegerakan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah rintis bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian. - Foto hiasan
Kerajaan digesa menyegerakan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah rintis bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian. - Foto hiasan

Segerakan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyegerakan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah rintis bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2021, November lalu, mengumumkan pemberian 150,000 komputer riba, hasil kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan seharusnya memanfaatkan kuasa penuh bawah Ordinan Darurat ketika ini untuk mendesak syarikat konglomerat menyumbang komputer riba kepada murid di sekolah.

Selain itu, katanya, mengikut Ordinan Darurat juga, kerajaan digesa mengarahkan stesyen televisyen swasta berbayar menyediakan saluran pendidikan dengan pemantauan Kementerian Pendidikan.

"Kita berharap kerajaan dapat segera menyalurkan sumbangan komputer riba ini berikutan sesi persekolahan melalui kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sudahpun bermula," katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

PdPR menerima pelbagai maklum balas daripada guru dan ibu bapa sejak ia dilaksanakan semula pada sesi persekolahan tahun ini yang bermula 20 Januari lalu.

Jumlah 150,000 itu bersamaan dengan tiga peratus daripada anggaran 4.7 juta murid daripada keseluruhan 10,220 sekolah rendah dan sekolah menengah yang bakal menerima komputer riba terbabit.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan juga harus memberikan perhatian serius kepada kira-kira 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki sebarang peralatan bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau komputer riba.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga diminta bertindak lebih proaktif dan segera menangani pelbagai isu dan kekangan pembelajaran.

"Ia penting supaya tidak berlaku sebarang fenomena murid tercicir daripada arus pendidikan dalam kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudahpun masuk tahun kedua ini," katanya.

Beliau berkata, siaran TV Pendidikan juga boleh diperluaskan dengan menukar beberapa saluran televisyen milik kerajaan sepenuhnya sepanjang sekolah ditutup akibat pandemik.

Berita Harian X