Ahad, 24 Januari 2021 | 12:42pm
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian

Sarawak terima peruntukan RM21 juta tingkat kapasiti ujian saringan COVID-19

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM21 juta daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menaik taraf fasiliti, peralatan serta makmal hospital kerajaan di negeri ini dalam usaha meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata dengan adanya peruntukan itu, Sarawak mampu menguji hingga 6,000 sampel sehari bagi mempercepatkan usaha Sarawak melandaikan lekuk jangkitan wabak berkenaan.

"Sebelum ini, kapasiti ujian COVID-19 di Sarawak adalah 2,500 sampel sehari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi meningkatkan keupayaan ujian saringan COVID-19, Dr Sim berkata, Kerajaan Sarawak turut menyediakan peruntukan membantu pembiayaan makmal molekular kerajaan di Limbang dan Kapit.

"Dua hospital itu masing-masing menerima peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga melakukan bidaan untuk membantu meningkatkan kapasiti ujian dengan menyediakan dana bagi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kampus Bandar, Pusat Perubatan Borneo (BMC) dan Gribbles Pathology Malaysia.

"Melalui kerjasama antara institusi kesihatan awam dengan swasta, Sarawak akan dapat menjalankan lebih 6,000 ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) sehari bagi saringan COVID-19," katanya.

Selain itu, beliau berkata, KKM menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM36 juta bagi meningkatkan peralatan rawatan, termasuk penambahan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sibu, Bintulu, Miri serta Limbang.

Berita Harian X