X
Sabtu, 23 Januari 2021 | 8:40pm

Setiu, Kuala Nerus kini zon merah

KUALA TERENGGANU: Daerah Setiu dan Kuala Nerus adalah daerah terbaharu dikategorikan sebagai zon merah COVID-19, hari ini.

Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) mengesahkan daerah Setiu kini mencatatkan sebanyak 46 kes dan Kuala Nerus sebanyak 67 kes aktif positif COVID-19.

Kes aktif COVID-19 di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut yang sejak dua minggu lalu dikategorikan sebagai zon merah terus melonjak.

Berdasarkan situasi terkini pandemik COVID-19 dikeluarkan hari ini, daerah Kuala Terengganu kini mencatatkan 270 kes aktif, Dungun (100) dan 86 kes di Besut.

"Dua lagi daerah iaitu Marang dan Hulu Terengganu kini dikategorikan sebagai zon jingga selepas masing-masing mencatatkan 34 dan 32 kes, manakala daerah Kemaman masih berada dalam zon kuning dengan 19 kes aktif positif COVID-19, dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari," katanya melalui Facebook JKNT hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus ketika dihubungi melalui WhatsApp mengesahkan daerah Setiu dikategorikan sebagai zon merah aktif COVID-19, hari ini manakala Kuala Nerus semalam.

Sementara itu, sebanyak 131 kes baru COVID-19 dicatatkan, menjadikan terdapat 653 kes aktif dengan keseluruhan berjumlah 1,355 kes.

"562 kes berada dalam keadaan stabil dan diberi rawatan biasa, manakala satu kes sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

Berita Harian X