Sabtu, 23 Januari 2021 | 3:31pm
Masjid At-Taqwa, Paroi, Negeri Sembilan
Masjid At-Taqwa, Paroi, Negeri Sembilan

Jemaah solat Jumaat Masjid At-Taqwa patuhi SOP

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya jemaah solat Jumaat di Masjid At-Taqwa dekat Paroi di sini, semalam mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli, berkata pihaknya mendapati jemaah masjid itu mematuhi SOP ditetapkan termasuk membawa sejadah besar sendiri, memakai pelitup muka, mematuhi jarak fizikal yang telah ditetapkan oleh pihak jawatankuasa sepanjang berada di dalam masjid.

Katanya, solat Jumaat di masjid itu juga dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM), kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penguat kuasa JHEAINS.

"Tidak timbul isu bahawa ahli jemaah solat Jumaat di masjid itu semalam tidak mematuhi SOP ditetapkan seperti mana penularan video di laman sosial.

"Saya ingin tegaskan bahawa sepanjang solat dilangsungkan, ia dipantau anggota polis dan penguat kuasa JHEAINS.

"Hanya satu pintu pagar sahaja dibuka untuk laluan masuk ke kawasan masjid dan jawatankuasa masjid turut menyediakan tiga khemah di luar kawasan bagi tujuan melicinkan proses pendaftaran dan mengimbas suhu badan setiap jemaah," katanya menetusi kenyataan di sini, hari ini.

Sejak semalam, satu video viral di laman sosial dipercayai dirakam individu bukan Islam mendakwa ahli jemaah solat Jumaat di Majid At-Taqwa tidak mematuhi SOP.

Mohd Zaidi menegaskan, tiada sebarang pelanggaran SOP dilaporkan pihak berkuasa yang melakukan pemantauan.

Beliau berkata, ahli jemaah juga dilarang meletakkan kenderaan dalam kawasan masjid dan susulan itu, banyak kenderaan kelihatan di bahu jalan.

Katanya, kapasiti sebenar Masjid At-Taqwa tanpa mengambil kira penjarakan fizikal adalah seramai 3,000 jemaah, manakala kapasiti dibenarkan dengan penjarakan fizikal adalah seramai 1,200 orang.

"Bagaimanapun, jemaah yang dilaporkan hadir semalam (Jumaat) adalah seramai 900 orang sahaja.

"Hal ini selaras dengan arahan kerajaan negeri yang membenarkan rumah ibadah dibuka untuk tujuan ibadah dan bukan untuk upacara keramaian," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menegaskan umat Islam di Negeri Sembilan perlu terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan pihak berkuasa ketika berada dalam kawasan masjid, surau dan ketika bersurai selepas melaksanakan ibadah.

Beliau berkata, tindakan itu penting supaya tidak membuka ruang fitnah terhadap umat Islam dan dalam masa sama boleh terus melaksanakan ibadah dengan tenang di samping menghidupkan masjid dan surau.

"Tohmahan sebeginilah yang sepatutnya dielakkan oleh umat Islam bagi menjaga kesucian dan kemurnian agama.

"Setiap individu Muslim hendaklah bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menjaga kesucian Islam agar tidak diperlekehkan oleh orang lain.

"JHEAINS tetap konsisten untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran SOP sama ada oleh individu, jemaah atau pihak jawatankuasa masjid," katanya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata kehadiran jemaah untuk solat Jumaat dan fardu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, adalah berdasarkan kapasiti ruang masjid dan surau, seperti diumumkan kerajaan negeri.

Berita Harian X