Sabtu, 23 Januari 2021 | 12:29pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sering meluangkan masa bersama kucing terbiar yang kini diambil untuk dipelihara di kawasan kediaman baginda. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri titah jangan abai haiwan terbiar

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita kerana masih ada individu berlaku kejam terhadap haiwan terbiar.

Baginda berdua terkilan kerana masih ada yang tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi haiwan berkenaan, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini, baginda berdua menitahkan rakyat khususnya di Selangor supaya tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing.

"Titah baginda, adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi mereka makan dan perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan atau pun apabila mereka berada dalam habitat sendiri.

"Baginda berdua sendiri kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang dikasi (neuter) dan diberi perlindungan secukupnya.

Pernah menjadi kucing terbiar, Snowy kini menjadi peneman setia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sentiasa berada di sisi baginda. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office
Pernah menjadi kucing terbiar, Snowy kini menjadi peneman setia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sentiasa berada di sisi baginda. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office

Snowy juga adalah antara kucing peliharaan kesayangan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office
Snowy juga adalah antara kucing peliharaan kesayangan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office

"Ini termasuk Snowy, kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman baginda empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif baginda sendiri.

"Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan Sultan Sharafuddin dan menjadi peneman setia baginda," menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Menurut Istana Alam Shah, selain Snowy, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program 'Stray Free Selangor' (SFS) kendalian 'Society For The Prevention of Cruelty Animals' (SPCA Selangor) menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar dengan hampir 30 ekor dipelihara baginda.

"Menurut baginda, dengan kaedah haiwan angkat, haiwan terbiar ini boleh menjadi haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan jika memberi rawatan dan penjagaan yang rapi.

Antara kucing terbiar yang diselamatkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan kini dalam peliharaan baginda. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office
Antara kucing terbiar yang diselamatkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan kini dalam peliharaan baginda. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office

"Untuk rekod, sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut Sultan Sharafuddin juga menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih proaktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar secara holistik, dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan dikurung atau dibunuh.

"Baginda mahu PBT menjadikan Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan terbiar yang tidak berdosa daripada dizalimi.

"Baginda berdua berharap rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan terbiar serta mengambil berat hak dan kebajikan haiwan seumpamanya," katanya.

Baginda berdua turut mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika PKP.

"Ini termasuk memakai pelitup muka dan hanya keluar rumah bila perlu bagi membendung penularan COVID-19," katanya.

Berita Harian X