Sabtu, 23 Januari 2021 | 11:07am
Kekangan kewangan menyebabkan ada pelajar yangmengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terpaksa berkongsi dan bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit. - Foto fail NSTP/Adnan Ibrahim
Kekangan kewangan menyebabkan ada pelajar yangmengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terpaksa berkongsi dan bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit. - Foto fail NSTP/Adnan Ibrahim

GPMS syor kerajaan beri peranti kepada pelajar B40

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian peranti elektronik kepada keluarga dan pelajar dari golongan B40 bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata cadangan ini wajar dipertimbangkan secara serius walaupun mengambil masa dari segi usaha pengenalpastian pelajar yang benar-benar layak, kekangan dasar dan polisi serta sumber kewangan yang terhad.

"GPMS berpendapat, kerajaan dapat menyusun semula beberapa peruntukan yang pada awalnya dikhususkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kemudiaannya tidak digunakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebagai contoh, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Makanan Asrama (BMA). GPMS mendapati dua program ini mempunyai ruang penjajaran semula yang besar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah peruntukan RMT dan BMA tahun 2020 adalah RM 1,721,304,900. Sekiranya sekolah hanya beroperasi selama tujuh bulan rentetan PKP bermakna sebanyak RM1,004,094,525 telah dibelanjakan dan masih berbaki RM717,210,375.

Peruntukan bagi tahun 2021 bagi kedua-dua program juga mencecah RM1,813,606,400 iaitu kenaikkan sebanyak RM92,301,500 atau lima peratus.

"Sekiranya dana ini digunapakai bagi tujuan perolehan peranti elektronik, hampir semua pelajar dari keluarga berpendapatan rendah bakal menerima manfaat," kata kenyataan itu.

Katanya, sekiranya terdapat peruntukan KPM yang boleh disusun semula bersama Kementerian Kewangan, GPMS memohon supaya digunakan bagi penyediaan peranti elektronik kepada pelajar yang layak.

Berita Harian X