Khamis, 21 Januari 2021 | 10:43pm
Hantaran di akaun Facebook Hashim Suboh meminta Najib berlaku jujur.
Hantaran di akaun Facebook Hashim Suboh meminta Najib berlaku jujur.

Najib kena jujur

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta jujur apabila membangkitkan isu pelaksanaan darurat dan mempertikai Parlimen digantung.

Timbalan Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Hashim Suboh mendakwa Najib tidak berlaku jujur kepada rakyat dan negara ketika ini apabila membangkitkan isu berkenaan.

"Najib meminta (Menteri Kewangan) Tengku Datuk Seri Zafrul (Abdul Aziz) berlaku jujur mengenai darurat di lain-lain negara yang katanya hanya untuk membolehkan 'lockdown' dikuatkuasakan.

"Najib juga mempersoalkan kenapa darurat di Malaysia membabitkan penggantungan Parlimen? Najib juga perlu berlaku jujur.

"Berhentilah berpura-pura tidak tahu, terus membaling batu sambil menyembunyikan tangan," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap satu hantaran dibuat Najib di akaun Facebooknya yang meminta Tengku Zafrul berlaku jujur bila membangkitkan pengisytiharan darurat bagi membendung COVID-19.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, langkah mengisytihar darurat tidak tepat apabila menyamakan Malaysia dengan 80 negara lain yang mengisytihar darurat akibat peningkatan kes COVID-19.

"Darurat bagi negara lain bermaksud kuasa diberi kepada kerajaan untuk lakukan 'lockdown' sebab mereka tidak ada akta seperti kita yang boleh 'lockdown' tanpa darurat. Parlimen mereka tak pernah gantung," kata Najib.

Dalam hal ini, Hashim mahu Najib jujur memberitahu rakyat mengenai tindakan Ahli Parlimen yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan sendiri.

"Beritahu rakyat Malaysia di negara manakah ada Ahli Parlimen yang 'gila' nak menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan sendiri 'segila' sebilangan Ahli Parlimen di Malaysia tanpa mengira waktu?

"Sejujurnya, bolehkah Datuk Seri menafikan pembabitan dalam sebahagian agenda untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika kerajaan sedang fokus berdepan dengan pandemik COVID-19 ini?

"Apakah rasional memaksa peralihan kerajaan atau pilihan raya umum (PRU) diadakan ketika COVID-19 ini sedang menggila?" soalnya.

Berita Harian X