Khamis, 21 Januari 2021 | 8:35pm

Ujian saringan pelajar jika ada kes positif di komuniti

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan menjalankan ujian saringan COVID-19 termasuk terhadap murid sekolah jika ada kes positif baharu dikesan dalam komuniti atau terdedah kepada kes positif.

Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementerian itu tidak menjalankan saringan terhadap semua warganegara termasuk mereka yang kembali semula ke sekolah.

"Kita hanya menjalankan saringan tertumpu kepada kes yang positif dan kontak rapat. Itu keutamaan yang kita jalankan," katanya pada sidang media mengenai penularan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau mengulas implikasi apabila tiada saringan diwajibkan terhadap pelajar sekolah yang kembali ke sekolah secara bersemuka.

Semalam, 36 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dikesan positif COVID-19 di Sabah.

Berita Harian hari ini melaporkan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pelajar berkenaan dikesan positif dalam saringan sebelum dibenarkan kembali ke asrama mulai 16 Januari lalu.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sedang meningkatkan kapasiti makmal bagi membolehkan sebanyak 100,000 sampel ujian RT-PCR dapat diuji setiap hari.

Beliau berkata, semua 68 makmal yang digunakan KKM dianggarkan mampu memproses kira-kira 70,000 sampel ujian RT-PCR sehari.

Katanya, pengesanan kes positif turut dibantu melalui ujian saringan menggunakan kit RTK-Antigen selain penggunaan RT-PCR untuk diagnosis kes COVID-19.

"Kita akan pertingkatkan keupayaan makmal kepada 100,000 pada masa terdekat dan kita juga akan menambah makmal di hospital seperti Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

"Kita akan menempatkan makmal seperti dibuat di Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau dan hospital lain.

"Perancangan KKM adalah untuk meningkatkan keupayaan makmal sehingga 150,000 dengan melihat kerjasama swasta dan awam serta makmal di universiti termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sebelum kita menambah makmal di hospital KKM," katanya.

Ujian saringan dilakukan jIka ada kes positif di komuniti atau terdedah kepada kontak rapat - Dr Noor Hisham. FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ujian saringan dilakukan jIka ada kes positif di komuniti atau terdedah kepada kontak rapat - Dr Noor Hisham. FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Berita Harian X