Khamis, 21 Januari 2021 | 6:37pm

Calon SPM bergejala perlu jalani ujian swab

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih dengan keputusan hanya pelajar mempunyai gejala jangkitan COVID-19 perlu menjalani ujian saringan sebelum pulang ke asrama atau menduduki peperiksaan di sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan tiada keperluan ujian calitan dilakukan kepada semua pelajar, sebaliknya tertumpu pelajar bergejala.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan meneliti isu itu dengan KKM untuk keputusan selanjutnya, susulan laporan kes COVID-19 membabitkan pelajar di Lipis, Pahang dan Sabah, baru-baru ini.

"Kalau kita mewajibkan (ujian saringan semua pelajar), ada membabitkan kos. Adakah ibu bapa akan menanggung kos ujian swab, itu persoalan dibincangkan.

"Setakat hari ini, kita tidak mahu membebankan ibu bapa daripada segi kos. Pandangan KKM, mungkin tidak perlu ujian swab semua pelajar hanya tumpu pelajar bergejala ada kemungkinan jangkitan virus itu.

"Yang sihat dan tidak bergejala mungkin tidak perlu. Bagaimanapun, ada kes (pelajar positif COVID-19) saya akan rujuk dengan KKM untuk keputusan seterusnya," katanya pada sidang media, hari ini.

Media melaporkan kumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan dikuarantin sejak semalam selepas seorang calon didapati positif COVID-19.

Di Sabah pula, seramai 36 pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dikesan positif COVID-19.

Ditanya adakah sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah pada waktu malam dibenarkan, Ismail Sabri berkata, beliau akan merujuk perkara berkenaan dengan Kementerian Pendidikan.

"Saya pun tak tahu perkara ini, saya akan rujuk (kementerian berkaitan)," katanya.

Hanya pelajar atau calon SPM yang bergejala perlu jalani ujian swab. FOTO NSTP
Hanya pelajar atau calon SPM yang bergejala perlu jalani ujian swab. FOTO NSTP
Berita Harian X