Khamis, 21 Januari 2021 | 12:26am
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun

COVID-19: 36 calon bakal duduki SPM, STPM dijangkiti

KOTA KINABALU: Seramai 36 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah, disahkan dijangkiti COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata, kes dikenal pasti menerusi ujian saringan sebelum pelajar dibenarkan kembali ke asrama bagi mengikuti sesi pembelajaran sebagai persiapan menghadapi peperiksaan awam berkenaan.

"Setakat 20 Januari, seramai 36 pelajar SPM dan STPM disahkan dijangkiti COVID-19 melalui saringan balik ke asrama mulai 16 Jan lepas," katanya dalam sidang media harian COVID-19 Sabah di sini, hari ini.

Masidi berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menyediakan perkhidmatan internet di setiap Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah bagi memudahkan pelajar yang menjalani rawatan dan tempoh kuarantin mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Sementara itu, Masidi berkata masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan pelaksanaan PKP di Sabah yang masuk hari kelapan hari ini, dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 di negeri itu.

Katanya, gambaran sebenar sama ada pelaksanaan PKP berkesan ataupun tidak hanya akan diketahui selepas 10 hari arahan itu dikuatkuasakan.

Beliau berkata, kes jangkitan di Sabah ketika ini adalah susulan pematuhan SOP yang lemah dalam kalangan rakyat sebelum PKP dilaksanakan dan ini dapat disaksikan menerusi penurunan kadar peratusan pematuhan SOP di setiap daerah.

Bagaimanapun, Masidi tidak menolak kemungkinan trend peningkatan kes jangkitan di Sabah dalam beberapa hari ini berpunca daripada keputusan ujian saringan secara besar-besaran yang dijalankan oleh PERKESO ke atas pekerja kilang terutama di Pantai Timur Sabah.

Mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah hari ini, Masidi berkata 406 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes itu di negeri ini 45,088 kes, dengan dua kematian dilaporkan di Sandakan dan satu di Kota Kinabalu.

"Seramai 416 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh seramai 40,549 orang," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X