Rabu, 20 Januari 2021 | 12:15pm
Keadaan dari udara pemandangan Air Terjun Tanjung Batu yang diambil menggunakan 'dron' yang musnah akibat daripada aktiviti kuari. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Keadaan dari udara pemandangan Air Terjun Tanjung Batu yang diambil menggunakan 'dron' yang musnah akibat daripada aktiviti kuari. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Keadaan Air Terjun Tanjung Batu yang musnah akibat aktiviti kuari. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Keadaan Air Terjun Tanjung Batu yang musnah akibat aktiviti kuari. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kemusnahan air terjun: JAS kenal pasti 6 ketidakpatuhan EIA

MANJUNG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dilakukan oleh pihak yang menjalankan aktiviti kuari di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari, di sini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata JAS Perak sudahpun menjalankan siasatan berkaitan di Hutan Simpan Segari Melintang, kelmarin dan semalam.

Berdasarkan hasil siasatan, beliau berkata, kemusnahan alam sekitar di kawasan terbabit disyaki berpunca daripada tapak projek kuari granit.

"Siasatan awal mendapati ada enam ketidakpatuhan syarat kelulusan EIA, terutama membabitkan kerja tanah dijalankan tanpa mengikut pelan 'Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures' (LD-P2M2).

 Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.- Foto fail NSTP
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.- Foto fail NSTP

"JAS Perak sudah memasang pita penghalang. Arahan di lapangan dan notis arahan juga telah dikeluarkan untuk tindakan remedi," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAS Perak sedang melengkapkan kertas siasatan berkenaan, termasuk memanggil pihak berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan keindahan Air Terjun Tanjung Batu dan alam semula jadi di kawasan sekitarnya kini hampir lenyap, dengan aktiviti kuari serta pembersihan hutan dikesan di lokasi terbabit sejak Julai tahun lalu.

Berita Harian X