Rabu, 20 Januari 2021 | 11:20am

Calon peperiksaan gembira, bersemangat ke sekolah

JOHOR BAHRU: Seramai 55,520 calon tiga peperiksaan utama bagi 2020, memulakan sesi persekolahan 2021 secara bersemuka di seluruh Johor, hari ini.

EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata jumlah itu membabitkan 49,475 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) (4,857) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) (1,188).

Mardhiah Izam Nawi - NSTP/OMAR AHMAD
Mardhiah Izam Nawi - NSTP/OMAR AHMAD

"Sebanyak 270 sekolah menengah di negeri ini dibuka semula dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Sebagaimana diarahkan Kementerian Pendidikan, hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020 seperti SPM dan STPM, boleh memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada hari ini.

Adlina Mohd Marsidi - NSTP/OMAR AHMAD
Adlina Mohd Marsidi - NSTP/OMAR AHMAD

"Ini kerana jika ada terlalu ramai pelajar di sekolah, kita bimbang tiada penjarakan fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mardhiah Izam Nawi, 18, menyifatkan sesi persekolahan secara bersemuka lebih baik kerana dapat mengajukan sebarang masalah pembelajaran secara langsung kepada guru.

"Apabila belajar di rumah secara dalam talian, adakala berlaku tiada kesedaran atau kesungguhan untuk menimba ilmu.

"Sebaliknya apabila ke sekolah, lebih terasa nikmat belajar. Walaupun dalam suasana norma baharu, saya yakin akan lebih tekun dan bersungguh-sungguh belajar di kelas," katanya ketika ditemui di luar pekarangan SMK Sultan Ismail.

Adlina Mohd Marsidi, 18, turut sependapat lebih memilih sesi persekolahan secara bersemuka berbanding pembelajaran dalam talian.

"Memang bersemangat untuk kembali ke sekolah, hari ini, kerana saya adalah calon yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu.

"Saya mahu cepat menduduki peperiksaan itu dan sudah membuat persiapan sejak pembelajaran dalam talian, selain meneruskan ulang kaji selepas pengumuman bahawa sesi persekolahan akan dibuka secara bersemuka," katanya.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Johor (KPIBPK), Datuk Yahya Jaafar, berkata rata-rata pelajar dilihat gembira dapat hadir ke sekolah, hari ini.

"Sebelum sesi persekolahan bermula, KPIBPK telah melaksanakan sanitasi di 22 sekolah. Kita memahami kebimbangan ibu bapa berhubung isu penularan COVID-19.

"Segala SOP ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan diberi perhatian serius, termasuk amalan penjarakan sosial serta sanitasi," katanya.

Pelajar SMK Sultan Ismail memulakan sesi persekolahan secara bersemuka dengan norma baharu, hari ini. - NSTP/OMAR AHMAD
Pelajar SMK Sultan Ismail memulakan sesi persekolahan secara bersemuka dengan norma baharu, hari ini. - NSTP/OMAR AHMAD
Berita Harian X