Selasa, 19 Januari 2021 | 11:00pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bertemu pesakit COVID-19 ketika mengadakan lawatan ke Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang, hari ini. -Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bertemu pesakit COVID-19 ketika mengadakan lawatan ke Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang, hari ini. -Foto BERNAMA

Pengoperasian PKRC MAEPS: Tindakan luar biasa dalam situasi luar biasa - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyifatkan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dibangunkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dalam tempoh tiga hari sebagai satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa.

Menzahirkan rasa bangga dengan usaha barisan hadapan daripada pelbagai agensi bagi membangunkan fasiliti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia adalah langkah bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

"Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit," katanya dalam satu catatan kemas kini di laman Facebook rasminya malam ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu MAEPS 2.0 di Serdang bagi melihat sendiri pengurusan PKRC dan pesakit COVID-19.

Beliau diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ke sesi taklimat tertutup pengoperasian oleh Pengarah Kesihatan Selangor merangkap Komander Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Wilayah Tengah Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Dalam kemas kini sama, Muhyiddin berkata beliau sempat berinteraksi dengan pesakit yang sedang dirawat di satu dewan di pusat berkenaan dan menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.

"Alhamdulillah, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan. Pada sesi interaksi itu, saya mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Beliau juga tidak lupa menitipkan doa kepada semua pesakit COVID-19 supaya terus bersemangat menjalani tempoh sukar dan diberikan kesembuhan serta barisan hadapan dikurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang menentang pandemik itu.

PKRC MAEPS kini meliputi tujuh dewan yang digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan.

Fasiliti itu kini dinaik taraf secara berfasa sebagai Hospital Bersepadu MAEPS 2.0 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 24 Januari ini bagi merawat pesakit COVID-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi di hospital. – BERNAMA

Berita Harian X