Selasa, 19 Januari 2021 | 3:59pm

JAS ambil tindakan syarikat kuari jejas Air Terjun Tanjung Batu

MANJUNG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengesahkan pihak yang menjalankan aktiviti kuari sehingga merosakkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari, di sini, melanggar syarat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Syarikat sama juga dikesan menceroboh rizab sungai di situ ketika melakukan aktiviti kuari, selain menolak sisa kayu ke dalam sungai sehingga menjejaskan alam sekitar.

Susulan itu, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul, berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana pelaksanaan aktiviti kuari tidak mematuhi komitmen dibuat pihak pemaju seperti dalam syarat kelulusan EIA pada 2017.

Beliau berkata, JAS Perak juga mengeluarkan notis arahan kepada syarikat berkenaan untuk pihak terbabit mengambil langkah penambahbaikan.

"Dapatan dilakukan pegawai di lapangan mendapati pihak berkenaan tidak mematuhi komitmen dalam EIA dan difahamkan ia juga membabitkan pencerobohan rizab sungai walaupun sungai itu berada dalam kawasan pembangunan mereka, tetapi ia perlu dikekalkan.

"Selain itu, dapatan juga mendapati mereka menolak sisa (kayu) ke sungai, sebab itu berlakunya impak seperti yang dilihat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosli berkata, pihak berkenaan juga didapati tidak menyediakan langkah kawalan sewajarnya, selain tidak mempunyai individu pakar dan berpengalaman untuk pemantauan.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati kawasan berkenaan belum dibersihkan sepenuhnya dengan sisa kayu dan pokok ditebang masih ada termasuk yang dihanyutkan ke aliran sungai, selain kesan jentera berat dapat dilihat di situ.

Pegawai JAS dan Jabatan Perhutanan Perak juga dilihat menjalankan siasatan lanjut di lokasi berkenaan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan pula berkata, berdasarkan pemerhatian hanya 10 peratus kerja pembersihan dilakukan dan masih ada sisa kayu di kawasan itu.

"Mungkin ketika ini kerja pembersihan pada peringkat permulaan dan mereka masih melihat tatacara bagaimana menguruskan perkara ini, tetapi penggunaan jentera berat mungkin memberi kesan lebih teruk kepada kawasan ini.

"Tumbuhan penutup bumi perlu ditanam untuk menghalang hakisan tanah, sekali gus dapat mengelak tanah jatuh ke bawah yang boleh menyebabkan air sungai bertukar keruh," katanya.

Media melaporkan keindahan dimiliki air terjun itu dan alam semula jadi di kawasan sekitarnya hampir lenyap apabila aktiviti kuari dan pembersihan hutan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Keadaan itu membuktikan kerakusan pihak terbabit yang tidak mementingkan alam semula jadi hingga menyebabkan landskap air terjun itu berubah hampir sepenuhnya.

 Ismady Radzuan melihat aliran air sungai di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di Manjung.-/Foto Noor Hidayah Tanzizi
Ismady Radzuan melihat aliran air sungai di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di Manjung.-/Foto Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X