Selasa, 19 Januari 2021 | 11:08am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Kuasa untuk ATM tangkap, siasat pesalah bukan diberi sewenang-wenangnya

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar diberikan kuasa untuk membuat tangkapan dan siasatan terutama ke atas mereka yang menceroboh sempadan negara dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir, berkata kuasa melakukan tangkapan oleh ATM seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini bukan diberikan sewenang-wenangnya.

"Di bawah Jawatankuasa Pengurusan Gerakan Kebangsaan yang dipengerusikan bersama Ketua Polis Negara dan Panglima ATM, mereka membincangkan apakah langkah yang akan diambil untuk memastikan pemberian kuasa itu digunakan secara tepat.

"Menerusi perbincangan yang dijalankan, Panglima ATM menyatakan ATM tidak akan bergerak bersendirian untuk menjalankan tugas di bawah Op COVID-19 kecuali dalam keadaan yang mendesak seperti kawalan di sempadan yang dibawah kuasa ATM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan pada program Bicara Naratif bertajuk 'Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021: Strategi Penting Memerangi COVID-19', malam tadi.

Pogram yang disiarkan RTM itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai panel jemputan.

Mengulas lanjut, Mohd Rabin berkata ATM wajar diberikan kuasa seperti polis untuk membuat tangkapan dan menjalankan soal siasat ke atas pesalah sebelum membawa mereka ke muka pengadilan dengan bantuan pihak polis.

"Kita dimomok-momokkan dengan kemasukan pendatang asing melalui lorong-lorong tikus di sempadan negara dan sekiranya ATM tidak dapat menggunakan kuasa seperti yang disebut dalam Ordinan Darurat di peringkat lapangan, ini sangat mengecewakan.

"Ketua Pengarah Kesihatan sering menguar-uarkan supaya kita menutup pintu sempadan, maka sekiranya pembolosan (pendatang asing tanpa izin) masih menjadi isu dan pihak yang dipertanggungjawabkan (ATM) tidak mempunyai kuasa, saya lihat usaha kita selama ini sia-sia," katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, proses itu masih di peringkat rundingan di antara Ketua Polis Negara dan Panglima ATM untuk mencari kesepakatan terbaik bagi melaksanakan tugas itu di lapangan.

Mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas teknikal darurat, Mohd Rabin berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai tempoh masa pelaksanaan darurat.

"Walaupun tempoh darurat ini diperuntukkan bermula 11 Januari lalu sehingga 1 Ogos depan, penamatan lebih awal atau penerusan tempoh darurat boleh dipersembahkan kepada baginda atas nasihat jawatankuasa khas bebas berdasarkan situasi penularan COVID-19 dalam negara.

"Keahlian jawatankuasa yang akan dilantik terdiri daripada mereka yang berada dalam parti kerajaan, pembangkang serta golongan profesional yang berkaitan dalam memberikan input dan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ini bagi memastikan Yang di-Pertuan Agong memperoleh pandangan yang menyeluruh daripada semua pihak dan bebas daripada pengaruh politik dan kepentingan golongan tertentu sahaja," katanya.

Katanya, Seksyen 2 Ordinan Darurat menjelaskan bahawa jawatankuasa yang dilantik akan memberikan nasihat dari semasa ke semasa atau pada masa diperlukan.

Berita Harian X