Ahad, 17 Januari 2021 | 10:30pm
Program saringan pekerja asing giat dijalankan di seluruh Sabah bagi mengekang penularan COVID-19. - BERNAMA
Program saringan pekerja asing giat dijalankan di seluruh Sabah bagi mengekang penularan COVID-19. - BERNAMA

COVID-19: Hari keluarga cetus kluster baharu di Sabah

KOTA KINABALU: Hari keluarga di Taman Ikan Jinak, Tuaran mencetuskan kluster baharu COVID-19 di daerah Tuaran dan Kota Belud dilaporkan di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Ikan Jinak itu merekodkan 18 kes baharu hari ini menjadikan kumulatif kes sebanyak 21 setakat ini.

"Kes indeks adalah kontak rapat kepada menantu dari Beaufort yang menghadiri hari keluarga pada 2 hingga 3 Januari lalu di Taman Ikan Jinak Tuaran.

"Aktiviti saringan dan mengenal pasti kontak masih giat dijalankan," katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata dua kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini dengan satu lagi membabitkan penjawat awam yang merentas negeri.

Kluster dinamakan Kluster Jalan Mawila di Kota Kinabalu itu, katanya mencatat 14 kes menjadikan kumulatif 15 kes setakat ini.

"Kes indeks bagi kluster ini dikesan melalui kes saringan rentas negeri pada 13 Januari lalu membabitkan seorang penjawat awam," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 393 kes positif baharu COVID-19 hari ini, menjadikan kumulatif sebanyak 43,644 kes.

Bagi kes sembuh, Masidi berkata, seramai 337 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan kumulatif sembuh seramai 39,326 orang.

"Seramai 2,949 pesakit masih menerima rawatan iaitu 766 orang di hospital dan 2,185 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 84 orang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Jumlah itu mewakili 43.57 peratus daripada 6,769 unit katil untuk pesakit COVID-19 di Sabah ketika ini, masing-masing 1,036 katil disediakan di hospital dan 4,633 katil di PKRC.

Sementara itu, sebanyak 22 daerah di Sabah kekal dalam zon merah hari ini dengan Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi sebanyak 72 kes, diikuti Lahad Datu (65), Tawau (28), Penampang (27), Tuaran (26), Kinabatangan (25), Keningau (18), Kota Marudu (17), Sandakan (16), manakala Papar dan Semporna masing-masing 15 kes.

Tiga daerah kekal dalam zon jingga iaitu Nabawan dengan empat kes, Beluran (satu kes), manakala Kuala Penyu tiada sebarang kes baharu hari ini.

Tongod dan Telupid pula kekal dalam zon kuning.

Berita Harian X