Ahad, 17 Januari 2021 | 8:32pm

COVID-19: Belum reda, 3,339 kes baharu dicatat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mencatat 3,339 kes positif COVID-19 baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 158,434 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 3,324 daripada kes yang dilaporkan hari ini membabitkan penularan tempatan manakala 15 adalah kes import.

Beliau berkata, Selangor terus menunjukkan peningkatan kes harian tertinggi dengan 1,314 kes, diikuti Sabah (393), Johor (362), Kuala Lumpur (334) dan Negeri Sembilan (236).

"Bagi kes penularan dalam negara, sebanyak 2,292 kes adalah warganegara Malaysia (68.9 peratus) manakala 1,032 kes adalah bukan warganegara.

"Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,314 kes (39.4 peratus).

"Daripada jumlah ini, sebanyak 1,122 kes (85.4 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Sebanyak 159 kes (4.8 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depoh tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (94 kes), DTI Sepang 2 (53), Kluster Tembok Gajah (enam), Kluster Telok Mas (tiga), Kluster Tembok Kemus (dua) dan Kluster Tembok Mempaga (satu)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ketika ini, seramai 240 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 93 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, tujuh kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlahnya kepada 601 kes atau 0.38 peratus daripada keseluruhan kes.

"Ia membabitkan tiga lelaki dan empat wanita termasuk seorang wanita warga asing," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, mereka berusia antara 32 hingga 93 tahun dan kematian direkodkan di Johor (tiga kematian di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang); Selangor (tiga di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Sungai Buloh); dan satu di Kedah (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar).

Katanya, enam daripada mangsa menghidap pelbagai penyakit kronik manakala jenazah seorang mangsa wanita berusia 32 tahun dibawa ke hospital.

Beliau berkata, KKM merekodkan 2,676 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif 120,051 kes atau 75.8 peratus daripada keseluruhan kes.

Sehingga tengah hari tadi, beliau berkata, KKM merekodkan 651 kluster termasuk 10 kluster baharu hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, enam daripada kluster baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Jalan Pandan Indah di daerah Hulu Langat, Selangor; Kluster Jalan Mawila di Kota Kinabalu, Sabah; Kluster Jalan Perak di Johor Bahru, Johor; Kluster Jalan Menerung, Lembah Pantai, Kuala Lumpur; Kluster Tapak Bina Jalan Yap di Titiwangsa, Kuala Lumpur; dan Kluster Jalan Mohammed Salleh di Labuan.

Beliau berkata, empat lagi kluster membabitkan pusat tahanan di Sepang (Kluster DTI Sepang 2); majlis hari keluarga (Kluster Taman Ikan Jinak di Tuaran dan Kota Belud, Sabah) serta dua kluster yang berpunca daripada kes indeks bergejala iaitu Kluster Rantau Lada di Temerloh dan Maran, Pahang serta Kluster Pantai Peringgit di Melaka Tengah dan Jasin, Melaka.

"Jumlah kluster tamat ialah 359 termasuk tiga kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Bayam Indah, Kluster Tapak Bina Jesselton, dan Kluster Andalas.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau kepada 292 kluster dan daripada jumlah itu, sebanyak 86 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

"Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Lebuh (253 kes), Kluster Jalan Rantau-Siliau (96) dan Kluster Penjara Jalan Harapan (94), " katanya.

Berita Harian X