Jumaat, 15 Januari 2021 | 6:41pm

Calon SPM, STPM boleh berambut panjang

KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh menduduki peperiksaan berkenaan, walaupun berambut panjang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedai gunting dan salon dandanan rambut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ada yang persoal bagaimana calon SPM dan STPM mahu menduduki peperiksaan jika berambut panjang. Ini kerana, peraturan di sekolah, pelajar perlu berambut pendek dan kemas.

"Kementerian Pendidikan sudah pun membuat keputusan hasil daripada perbincangan kita dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Walaupun mereka berambut panjang, dibenarkan untuk ke sekolah tanpa tindakan oleh guru kerana kedai gunting dan salon rambut masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai operasi kedai gunting dan salon dandanan rambut, Ismail Sabri berkata, MKN belum bercadang untuk membenarkan premis berkenaan beroperasi sepanjang PKP dikuatkuasakan.

"Kali ini, kita tutup selama dua minggu dan selepas itu Kementerian Kesihatan akan kaji semula sama ada perlu dilonggarkan atau diperketatkan. Saya minta sektor gunting rambut bersabar," katanya.

Bagi kedai cermin mata, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah memberi kebenaran bagi premis berkenaan beroperasi.

"Ia dibenarkan selepas persatuan optomeri membuat rayuan dan mengeluarkan SOP sangat ketat. Mereka faham perkara berkaitan kesihatan dan KPDNHEP cadang supaya diluluskan, selain difahamkan ia sudah dibenarkan.

"Jika penguat kuasa KPDNHEP mendapati mereka (kedai cermin mata) gagal mematuhi SOP ditetapkan, kedai ini juga akan ditutup," katanya.

Kedai gunting tidak boleh beroperasi dalam tempoh PKP. - Gambar hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD
Kedai gunting tidak boleh beroperasi dalam tempoh PKP. - Gambar hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD
Berita Harian X