Khamis, 14 Januari 2021 | 8:24am
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi. - Foto NSTP
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi. - Foto NSTP

Pematuhan SOP hari pertama PKP di Sabah rendah

KOTA KINABALU: Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Sabah masih pada tahap yang rendah dengan purata 93.75 peratus.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata pencapaian itu merosot berbanding purata lebih 97 peratus direkodkan di negeri ini dua minggu sebelum akhir tahun lalu, ketika kes COVID-19 menunjukkan penurunan yang baik.

Beliau berkata, kemerosotan tahap pematuhan SOP menjadi punca kes baharu positif COVID-19 di Sabah meningkat semula bermula pada akhir tahun lalu disebabkan kelalaian dan kelekaan orang ramai yang mula mengambil mudah SOP selepas kes menunjukkan penurunan.

"Disebabkan kelalaian itulah, kes positif COVID-19 meningkat semula dan kini kita terpaksa melalui PKP sekali lagi dan darurat yang menunjukkan bahawa situasi penularan COVID-19 berada pada tahap serius.

"Jika sebelum ini kebanyakan daerah mencatat tahap pematuhan SOP yang baik, hari ini (semalam) lima daerah hanya mencatat 93 peratus pematuhan iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau, manakala daerah lain 94 peratus," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Daerah yang mencatat tahap pematuhan 94 peratus ialah Papar, Kota Belud, Kinabatangan, Kudat, Beaufort, Kunak, Semporna, Kota Marudu, Beluran, Ranau, Tuaran, Keningau, Tenom dan Sipitang.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sebanyak 12 sekatan jalan raya (SJR) semalam dan memeriksa 6,993 kenderaan.

"Daripada jumlah itu, empat kenderaan diarah berpatah balik, manakala 18 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga melaksanakan 63 hebahan melalui kereta peronda.

"Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) yang membabitkan 34 pemeriksaan di kawasan pantai timur dan empat pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu serta Labuan," katanya.

Mengenai cadangan supaya kerajaan membenarkan pergerakan orang ramai melebihi radius 10 kilometer khususnya di kawasan luar bandar, Masidi berkata perkara itu diserahkan kepada polis untuk membuat pertimbangan.

Katanya, orang ramai yang ada keperluan bergerak melebihi 10 kilometer dari tempat kediaman dibenarkan memohon kebenaran polis untuk berbuat demikian.

Sabah merekodkan 450 kes baharu positif COVID-19 semalam dengan tiga kematian, masing-masing di Papar, Kudat dan Tawau, menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 41,899 kes.

Masidi berkata, bagi kes sembuh, seramai 306 pesakit COVID-19 dibenarkan keluar hospital semalam, menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 37,964 orang.

"Seramai 2,833 pesakit masih menerima rawatan iaitu 753 orang di hospital dan 2,080 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 74 orang dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk 22 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, sebanyak 22 daerah kekal dalam zon merah semalam, diikuti dua daerah dalam zon jingga iaitu Kuala Penyu dan Beluran, manakala Tongod, Nabawan dan Telupid dalam zon kuning.

Bagi zon merah, Kota Kinabalu kekal daerah paling tinggi kes baharu iaitu sebanyak 60 kes, diikuti Lahad Datu (51), Penampang (50), Sandakan (44), Putatan (36), Kudat (29), Tawau (27) dan Kota Belud (22).

"Daripada 450 kes positif COVID-19 yang direkodkan, sebanyak 322 kes atau 71.6 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti saringan bergejala 80 kes atau 17.8 peratus dan 14 kes atau 3.1 peratus melalui saringan kluster sedia ada," katanya.

Berita Harian X