Rabu, 13 Januari 2021 | 10:16pm
Murid kini boleh mengakses buku teks sekolah digital dengan memuat turun aplikasi ‘KPM eTextbook Reader’. Gambar hiasan
Murid kini boleh mengakses buku teks sekolah digital dengan memuat turun aplikasi ‘KPM eTextbook Reader’. Gambar hiasan

Buku teks sekolah kini dalam versi digital - KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Perbadanan Kota Buku (PKB) membangunkan aplikasi 'KPM eTextbook Reader' bagi memudahkan murid mendapatkan buku teks sekolah secara digital.

KPM berkata, aplikasi itu akan memberi akses buku teks sekolah secara digital kepada murid yang akan memulakan sesi persekolahan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini sehingga 26 Jan.

Katanya, KPM eTextbook Reader membantu murid memuat turun buku teks digital melalui penyediaan piawaian fail EPUB iaitu format fail standard terbuka untuk buku digital yang lebih ringan dan serasi dengan peranti mudah alih.

"Aplikasi ini boleh didapati secara percuma melalui laman www.textbook.moe.gov.my atau dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store dengan carian KPM eTextbook Reader," kata KPM dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, KPM berkata, aplikasi itu membolehkan murid mengakses buku teks digital menggunakan telefon pintar dan tablet pada bila-bila masa dan di luar sekolah serta kediaman untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, capaian internet tidak diperlukan selepas aplikasi dimuat turun dan aplikasi KPM eTextBook Reader juga boleh menjadi penyelesai masalah beg sekolah berat dan mengurangkan kos mencetak buku teks. - BERNAMA

TAG: KPM, buku teks digital, aplikasi, eTextbook Reader, PKP

Berita Harian X