Selasa, 12 Januari 2021 | 5:38pm

PKP: Hanya pelajar duduki peperiksaan utama 2020, 2021 ikuti pembelajaran bersemuka

KUALA LUMPUR: Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dan 2021 dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka, di sekolah dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sesi persekolahan secara bersemuka di enam negeri terbabit, iaitu Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), akan bermula seawal seminggu selepas PKP ditamatkan.

Ia membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara bagi 2020 serta 2021.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata pelajar sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM bagi 2020 dan 2021 di negeri terbabit PKP, dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada pelajar bagi membolehkan mereka merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya pada sidang media, hari ini.

Sambil menjelaskan sesi persekolahan 2021 bermula 20 Januari ini, beliau berkata, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di kawasan PKP pula akan membabitkan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam di sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat di sekolah menengah, serta Semester Dua SVM Tahun 2020 dan Semester Dua DVM Tahun 2020.

Berhubung Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) di kawasan PKP pula, katanya, tarikh terbabit bagi Tingkatan Satu ialah 20 hingga 29 Januari ini, manakala Tingkatan Empat pula 15 hingga 25 Februari depan.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran," katanya.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, bercakap pada sidang media, hari ini. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, bercakap pada sidang media, hari ini. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Berita Harian X