Selasa, 12 Januari 2021 | 12:39pm
Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

Aktiviti pembalakan, projek durian Musang King antara punca

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air mengakui, pembukaan hutan untuk pelbagai aktiviti ekonomi dan pembangunan, menjadi antara punca banjir berlumpur melanda negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata antara aktiviti pembukaan hutan yang menyumbang kepada bencana alam berkenaan ialah pembalakan dan projek durian 'Musang King'.

"Selain itu, ia boleh juga disebabkan perladangan sawit, dusun dan projek perumahan, banyak punca banjir lumpur ini berlaku," katanya ketika dihubungi BH semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan BH bahawa banjir teruk membawa lumpur melanda negeri pantai timur Semenanjung sejak seminggu lalu, bukan disebabkan faktor semula jadi.

Sebaliknya Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, berkata keadaan itu diburukkan aktiviti penggondolan hutan yang semakin berleluasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya hanya bertanggungjawab bagi memastikan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dipatuhi dalam setiap pembangunan kawasan hutan di negara ini.

Namun, katanya kebenaran pembalakan terhadap sesuatu kawasan hutan pula tertakluk kepada bidang kuasa dan kawalan kerajaan negeri.

"Polisi perhutanan berada di bawah kawalan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)," katanya.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim menyambut baik dan akan meneliti cadangan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, supaya sistem pemetaan diwujudkan terhadap kawasan sensitif banjir sebelum sebarang kebenaran 'pembersihan tanah' dan pembangunan diberi bagi mengelakkan banjir bertambah buruk.

"Apapun semua cadangan yang baik akan diteliti untuk tindakan pihak terlibat. Perbincangan dengan pihak berkuasa negeri juga sentiasa diadakan," katanya.

Di Kuantan, Pejabat Menteri Besar Pahang memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung pendedahan dibuat BH itu dalam masa terdekat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini dilaporkan menyatakan 2,531 hektar hutan simpanan kekal di Pahang diteroka secara haram membabitkan keluasan 0.165 peratus daripada 43 peratus keseluruhan hutan simpan kekal.

Setakat Jun 2019, ada 2.5 juta hektar hutan di Pahang dengan 1.56 juta hektar daripadanya kawasan hutan rizab simpanan kekal.

Isu penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan bukan baharu berlaku mengambil contoh di Pahang apabila Pusat Pencerapan Bumi mendapati sejak 1989, lebih 20 peratus kawasan hutan di Pahang telah diterokai untuk pembangunan.

Di Kota Bharu pula, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah enggan menemui wartawan, walaupun petugas media menunggu mendapatkan kenyataan di pejabatnya di sini, lebih dua jam.

'Pinda akta beri kuasa Pusat 'jaga' tanah, hutan'

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) mendesak kerajaan supaya meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) bagi memberi kuasa kepada pentadbiran pusat untuk 'menjaga' tanah dan hutan di negara ini.

Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata Akta 313 kini bersifat lapuk kerana tidak dipinda lebih daripada 30 tahun

Beliau berkata, melalui peruntukan akta sedia ada, kuasa membabitkan tanah dan hutan adalah di bawah kerajaan negeri menyebabkan usaha melindunginya sukar dilaksanakan.

"Justeru wujud keperluan yang mendesak untuk meminda undang-undang bagi memastikan hutan negara dapat dilindungi selain memastikan pembangunan hutan yang mampan.

"Peranan kerajaan negeri sangat luas di bawah peruntukan sedia ada, maka menjadi keperluan untuk meminda akta bagi mengimbangi kuasa negeri bagi menjaga kelestarian alam sekitar, " katanya.

Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan BH semalam, yang mendedahkan banjir teruk membawa lumpur melanda negeri pantai timur Semenanjung sejak seminggu lalu, bukan disebabkan faktor semula jadi.

Sebaliknya Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, dilaporkan berkata, keadaan itu diburukkan aktiviti penggondolan hutan yang semakin berleluasa.

Shariffa Sabrina berkata, sebelum ini, PEKA pernah menyerahkan memorandum mengenai pemindaan Akta 313 kepada Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli pada 2019 lalu. Kali terakhir Akta 313 dipinda adalah pada 1993.

Katanya, cadangan pindaan itu diharap dapat menyelesaikan dua isu utama membabitkan hukuman dan denda yang sudah tidak relevan.

Selain itu, beliau berkata, ia juga diharap dapat mengimbangi kuasa mutlak kerajaan negeri terhadap kawalan ke atas hal yang berkaitan dengan pengurusan serta pentadbiran hutan.

"Kita juga minta kerajaan untuk tidak lagi mengeksport kayu-kayan tempatan, antaranya ke China dan Jepun, bagi mengurangkan pembalakan kerana permintaan bahan itu yang tinggi.

"Sebaliknya Malaysia perlu hanya membataskan pengeluaran kayu kepada pasaran tempatan sahaja," katanya.

Berita Harian X